Tun Dr Mahathir Mohamad

1981 – 2003, 2018 –

Tun Dr Mahathir bin Mohamad dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat pada 16hb Julai 1981. Beliau merupakan Perdana Menteri yang paling lama mentadbir negara iaitu selama 22 tahun. Pada tahun 2018, setelah gabungan politik beliau memenangi pilihanraya ke-14, Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-tujuh.

Dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah

Menjadi Perdana Menteri keempat, dan yang paling lama berkhidmat di Malaysia pada 16 Julai 1981

Dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh pada 10 Mei 2018

Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri yang keempat Malaysia pada 16hb Julai 1981, menyandang jawatan itu untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu 22 tahun. Beliau dikenali sebagai “Bapa Pemodenan” di atas kejayaan beliau menukarkan Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden. Tun meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003. Walau bagaimanapun, pada tahun 2016, Tun Dr Mahathir muncul kembali di alam politik apabila beliau menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk menandingi Barisan Nasional. Pada tahun 2018, dalam satu kejutan politik, PPBM dan parti-parti bersekutunya, memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14. Pada usia 93, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-7 Malaysia.
previous arrow
next arrow
Slider

Tun Dr Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 (tarikh kelahiran rasminya direkodkan pada 20hb Disember 1925) di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, suatu kawasan yang diakui oleh Tun sendiri sebagai kawasan miskin. Ibu bapa Tun Mahathir ialah Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi dan Tun merupakan anak bongsu di antara sembilan orang adik beradik.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak selama dua tahun sebelum memasuki sekolah Inggeris kerajaan yang kemudian bertukar nama kepada Kolej Sultan Abdul Hamid, di mana ayahnya merupakan guru besar. Sebagai pelajar, Tun Dr Mahathir aktif berdebat dan dikenali untuk kemahiran bahasa Inggerisnya. Dia dilantik sebagai editor majalah sekolah, dan bermain untuk pasukan ragbi sekolah.

Pendidikannya terganggu apabila Jepun melancarkan serangan ke atas Asia Tenggara melalui Thailand, Pulau Pinang, dan Kelantan, pada 8 Disember, sehari selepas Tun menduduki Peperiksaan Junior Cambridge. Semasa zaman Pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Tun menghadiri sekolah Jepun untuk beberapa bulan sahaja dan kemudiannya berhenti untuk menjual makanan di Pekan Rabu untuk membantu keluarganya. Setelah pihak Jepun menyerah diri dan Perang Dunia Kedua berakhir, Tun Mahathir melanjutkan pendidikannya di Kolej Sultan Abdul Hamid di mana artikel pertamanya sebagai editor majalah sekolah adalah mengenai peperangan dan pendudukan Jepun.

Pendudukan Jepun telah menanam kecurigaan orang Melayu terhadap kerajaan British kerana mereka gagal melindungi Tanah Melayu dan Raja-Raja. Selepas peperangan berakhir, Tun Mahathir dan rakan-rakannya menentang penubuhan Malayan Union. Tun menulis surat kepada akhbar-akhbar dan menjalankan kempen kesedaran mengenai ancaman Malayan Union ke atas hak orang Melayu melalui poster yang ditampal di merata tempat. Pada bulan Mei, 1946, UMNO (United Malay National Organisation) ditubuhkan untuk mendesak kerajaan British menghapuskan Malayan Union. Tun Dr Mahathir adalah antara orang Melayu yang pertama untuk mendaftar sebagai ahli. Kempen menentang Malayan Union akhirnya berjaya, dan Malayan Union dihapuskan pada tahun 1948, digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mengakui hak-hak istimewa orang Melayu.

Pada tahun 1947, Tun Mahathir memasuki Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura di atas biasiswa kerajaan. Di sana, beliau aktif menulis untuk akhbar The Sunday Times (kini dikenali sebagai The Straits Times) di bawah nama penanya, C.H.E Det (Det adalah nama keluarga beliau). Penulisannya menyelami masalah-masalah orang Melayu. Pada tahun 1953, Tun Mahathir lulus sebagai doktor dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar.

Semasa di kolej, Tun telah bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah, juga seorang pelajar perubatan. Pada tahun 1956, mereka telah berkahwin dalam satu majlis di Jalan Imbi di Kuala Lumpur. Mereka mempunyai tujuh orang anak: Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura, dan Mazhar.

Tun meninggalkan perkhidmatan kerajaan pada tahun 1957 untuk menubuhkan kliniknya sendiri, “Klinik Maha”, yang merupakan klinik swasta milik orang Melayu yang pertama di negara.
Tun Mahathir berkecimpung dalam bidang politik pada tahun 1964, di mana beliau menandingi dan memenangi kerusi Kota Setar di Pilihanraya Umum 1964. Pada tahun 1965, beliau dipilih untuk Majlis Tertinggi UMNO. Pada Pilihanraya tahun 1969, Tun berdiri untuk pemilihan semula, tetapi ditewaskan oleh wakil PAS.

Pada tahun itu, pihak pembangkang, terutamanya DAP (Democratic Action Party) memenangi kerusi yang paling banyak semenjak Merdeka. Perarakan pihak pembangkang di Kuala Lumpur untuk meraikan kemenangan mereka membawa kepada perusuhan kaum pada 13 Mei 1969 antara orang Cina dan orang Melayu yang menyebabkan hampir dua ratus orang mati. Berikutan rusuhan kaum 13 Mei 1969, Tun menulis satu surat yang pedas kepada Tunku, mengkritik beliau kerana pendekatan ekonominya yang lembut atau laissez-faire didakwa mengetepikan orang Melayu daripada menikmati hasil pembangunan negara disebabkan oleh dominasi kaum Cina. Oleh kerana surat itu, dia dipecat keahliannya dari UMNO. Sewaktu di “belantara politik”, Tun meneruskan amalan perubatan beliau di bidang swasta dan pemikirannya tentang nasib orang Melayu ditulis ke dalam buku, “Dilema Melayu”. Buku ini diterbitkan di Singapura dan dilarang masuk oleh kerajaan ke Tanah Melayu.

Tunku Abdul Rahman meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada September 1970, dan Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih. Pada tahun 1972, permohonan Tun Mahathir untuk menyertai semula UMNO telah diterima. Beliau dilantik sebagai Senator pada tahun 1973, serta ahli mahkamah Universiti dan Majlis Universiti Malaya. Pada tahun berikutnya, dalam pilihan raya umum Tun memenangi kerusi Kubang Pasu tanpa bertanding. Beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan Malaysia, dan menutup Klinik Maha di Alor Setar.

Pada tahun 1976, Tun Dr. Mahathir dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dua tahun kemudian, beliau mengambil alih jawatan Menteri Perdagangan dan Industri di mana beliau memimpin beberapa misi mempromosi pelaburan. Pada tahun 1981, setelah Tun Hussein Onn meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketiga atas sebab kesihatan, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri keempat Malaysia.

Di bawah kepimpinannya, Malaysia berubah dari sebuah negara pertanian ke negara perindustrian moden. Tun melancarkan kempen Bersih, Cekap & Amanah (Bersih, Cekap & Dipercayai) untuk mengurangkan rasuah, meningkatkan kecekapan, dan memupuk kepercayaan dalam perkhidmatan awam. Beliau juga memperkenalkan sistem “punch card” untuk kakitangan kerajaan, dan mengarahkan penjawat awam menggunakan lencana nama (name tag).

Dalam usaha memajukan Malaysia, Tun menubuhkan sebuah syarikat kereta kebangsaan, PROTON, dan pada tahun 1982, syarikat itu mengeluarkan kereta buatan Malaysia yang pertama, iaitu Proton Saga. Beliau juga memperkenalkan konsep “Malaysia Incorporated” iaitu perkongsian rapat antara kerajaan dan sektor swasta. Tun juga menyatakan hasrat beliau untuk Malaysia melalui Wawasan 2020, iaitu visi negara untuk mencapai status ekonomi maju (developed nation) pada tahun 2020, bukan hanya dari segi pertumbuhan ekonomi tetapi juga dari segi pendidikan, kematangan masyarakat, dan tadbir urus.

Setelah mengetuai Barisan Nasional untuk mencapai kejayaan di pilihanraya tahun 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999, beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.

Tun Dr Mahathir Mohamad kerap menulis mengenai isu Malaysia di semua platform media sosialnya. Pada tahun 2022, selepas Pilihan Raya Umum ke-15, beliau mengumumkan akan menumpukan sepenuh perhatiannya untuk menulis mengenai sejarah Malaysia dan peristiwa semasa.

Dari bangku sekolah sehingga sekarang, Tun Dr Mahathir Mohamad aktif menulis, samada artikel, surat kepada editor, buku, dan terkini, blog (blog beliau adalah www.chedet.cc). Tun Mahathir juga gemar membaca, dan dalam usia lebih 90 tahun kini, masih giat membaca buku-buku fiksyen serta bukan fiksyen. Penulis kegemaran beliau termasuk Wilbur Smith, Dick Francis, dan Ken Follett. Beliau juga gemar menunggang kuda.

Setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Tun dilantik sebagai Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana, sebuah pusat penyelidikan dan arkib untuk mendokumenkan sumbangan kesemua bekas Perdana Menteri Malaysia. Beliau juga menyandang jawatan Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana (Perdana Global Peace Foundation), yang menentang peperangan, serta Pengerusi KL Foundation to Criminalise War.

Pada tahun 2016, Tun Dr Mahathir keluar dari UMNO sebagai protes terhadap kepimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau menubuhkan parti politik baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Pada tahun 2017, pada usia 92 tahun, beliau kembali memasuki arena politik, kali ini sebagai pemimpin barisan pembangkang, Pakatan Harapan.

  • 1925: 20 Disember – Dilahirkan di Alor Star, Kedah, dan merupakan anak bongsu daripada sembilan adik beradik.
  • 1931: Bersekolah di Sekolah Melayu Seberang Perak
  • 1933: Bersekolah di sekolah Inggeris yang kemudiannya bertukar nama ke Kolej Sultan Abdul Hamid
  • 1942 – 1945: Pendidikannya tergendala akibat pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Beliau berhenti sekolah untuk menjual makanan di Pekan Rabu untuk membantu keluarga.
  • 1945: Mula aktif dalam arena politik dengan menyertai pelbagai organisasi politik seperti Kesatuan Melayu Kedah, Saberkas, dan UMNO, dan tegas menentang Malayan Union
  • 1947: Beliau mendapat tempat di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan
  • 1953: Lulus sebagai doktor dan berkhidmat di Hospital Besar Alor Setar
  • 1956: Berkahwin dengan Tun Dr Siti Hasmah Hj Mohd Ali
  • 1957: Berhenti dari kerajaan untuk menubuhkan klinik swasta, Klinik Maha, di Alor Setar
  • 1964: Bertanding sebagai ahli politik pada kali pertama di Kota Setar Selatan dan menang
  • 1965: Dipilih menjadi salah seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO
  • 1969: Kalah dalam pilihanraya 1969 kepada wakil PAS
  • 1969: Berikutan rusuhan kaum 13 Mei, beliau menulis surat mengkritik Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman, dan dipecat keahlian dari UMNO
  • 1970: Menulis “The Malay Dilemma”
  • 1970: Tunku meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, dan Tun Abdul Razak Hussein, menjadi Perdana Menteri Malaysia kedua
  • 1972: Tun Mahathir diterima kembali sebagai ahli UMNO, dan dilantik sebagai Senator
  • 1974: Memenangi kerusi Parlimen Kubang Pasu tanpa bertanding, dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan Malaysia
  • 1976: 5 Mac – Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Hussein Onn, dan juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian
  • 1981: 28 Jun Dipilih sebagai Presiden UMNO tanpa bertanding pada Perhimpunan Agung UMNO ke-32.
  • 1981: 16 Julai – Dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri keempat ketika berusia 55 tahun 7 bulan.
  • 1987: 24 April- Dipilih semula sebagai Presiden UMNO selepas menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dengan majoriti 43 undi pada pemilihan UMNO
  • 1995: 4 Mei – Kekal sebagai Perdana Menteri selepas memenangi Pilihan Raya Umum
  • 1998: 7 September – Memegang portfolio Menteri Kewangan selepas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disingkirkan dari UMNO dan dilucutkan jawatan-jawatan kerajaan
  • 1999: 8 Januari – Mengumumkan perlantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
  • 2002: 21 Jun – Mengumumkan hasrat meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan ketika Perhimpunan Agung UMNO.
  • 2003: 31 Oktober – Bersara dan digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri
  • 2009: 3 April – Dato’ Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6
  • 2016: Meninggalkan UMNO kerana tidak setuju dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak
  • 2016: Menubuhkan parti politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kemudiannya menyertai gabungan pembangkan, Pakatan Harapan
  • 2017: Menyertai politik sebagai Ketua Pembangkang
  • 2018: Mengisytiharkan pencalonan bagi kerusi parlimen Langkawi untuk Pilihanraya Umum ke-14
  • 2018: Memenangi Pilihanraya Malaysia ke-14 dan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7