Home  |  Blog  |  PLF DIALOG MERDEKA: DISKUSI DAN REFLEKSI TENTANG KEPIMPINAN DAN PERPADUAN NEGARA

PLF DIALOG MERDEKA: DISKUSI DAN REFLEKSI TENTANG KEPIMPINAN DAN PERPADUAN NEGARA


Program “Dialog Merdeka: Memahami Sejarah Melalui Kepimpinan”, yang diadakan pada 25 September 2024 di Yayasan Kepimpinan Perdana, mencetuskan perbincangan dan refleksi mengenai peranan pemimpin dalam sejarah pembentukan negara. 



Program yang dihadiri oleh lebih seratus peserta termasuk ahli akademik, pelajar institusi pengajian tinggi, dan orang awam ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Puan Zarina Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Kepimpinan Perdana yang menyatakan bahawa, “Malaysia bernasib baik di mana sejak merdeka, selain dari ancaman komunis dan peristiwa 13 Mei, negara telah menikmati keamanan, satu pencapaian yang perlu dihargai oleh semua rakyat Malaysia. Di sini, kita perlu memberi pengiktirafan kepada pemimpin-pemimpin negara yang telah menekankan perpaduan, prinsip tolak ansur, dan perkembangan ekonomi. Kepimpinan ini dan dasar-dasar yang digubal setelah merdeka telah membentuk Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang aman dan maju, menyangkalkan pendapat pesimis dunia luar ketika itu yang berpandangan bahawa negara ini akan gagal akibat permusuhan kaum dan cabaran ekonomi.”



Program diteruskan dengan sesi panel yang menampilkan Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, Felo Utama, Institut Kajian Etnik, UKM, Prof Dato’ Dr Ahmad Murad Merican, Professor Sejarah Sosial dan Intelektual, ISTAC-IIUM dan Prof Madya Dr Muhammad Takiyuddin Ismail, Pensyarah Kanan Sains Politik, UKM selaku pemudahcara. Ahli panel membincangkan usaha kerajaan dalam merangkakan dasar dan pendekatan untuk membina negara Malaysia yang merdeka dan bersatu padu.


Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menjelaskan cabaran awal dalam penerimaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, di mana waktu merdeka, ramai yang menganggap Bahasa Melayu sebagai bahasa vernakular yang hanya digunakan oleh satu kaum. Namun, melalui usaha kerajaan dan pendidikan, Bahasa Malaysia diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara. Walau bagaimanapun, tahap penguasaan Bahasa Melayu masih rendah di beberapa komuniti dan ini boleh menjadi halangan bagi integrasi dan perpaduan nasional. Datuk Teo juga menerangkan perbezaan di antara model integrasi dan asimilasi nasional, dan membuat perbandingan Malaysia – yang menggunakan model integrasi – dengan negara seperti Indonesia dan Thailand yang menggunakan model asimilasi.


Sementara itu, Prof Dato’ Dr Ahmad Murad Merican berkongsi tentang fasa-fasa pembangunan Malaysia selepas Merdeka, dan manyatakan bahawa dasar terbuka kerajaan bermula tahun 90-an terhadap internet telah memberi laluan kepada pelbagai naratif tentang sejarah negara. Beliau menyentuh tentang peranan silibus sejarah di sekolah untuk pemahaman sejarah yang lebih mantap.


Dr Ahmad Murad juga menekankan kepentingan etika dalam semua aspek pembinaan bangsa. Menurut beliau, etika yang kuat perlu dipupuk bukan sahaja di kalangan pemimpin, tetapi juga dalam setiap individu, dan keluarga memainkan peranan penting dalam pembentukan etika seseorang.


Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana ketika berucap pada sesi penutup di “Dialog Merdeka: Memahami Sejarah Melalui Kepimpinan”

Program diakhiri dengan ucapan penutup oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana. Dalam ucapan beliau, Tun Dr Mahathir menjelaskan peranan pemimpin dalam menentukan hala tuju dan bentuk negara dan masyarakat, bermula dari pemimpin pra- dan pasca Merdeka hingga kini. Di Malaysia, Perdana Menteri memainkan peranan yang besar kerana Malaysia mengikut sistem demokrasi berparlimen.


Tun Dr Mahathir menekankan bahawa pemimpin yang tidak intim dengan kehendak pengikutnya akan gagal, dan pemimpin juga perlu meneliti kesan sesuatu keputusan untuk jangka masa panjang. Tun Dr Mahathir mengingatkan bahawa kejayaan sebuah gerakan tidak hanya bergantung kepada keupayaan pemimpin, tetapi juga sokongan rakyat yang percaya kepada matlamat yang ditetapkan.


Melalui lensa kepimpinan, Tun Dr Mahathir memberi pemahaman baru terhadap peranan pemimpin dalam sejarah Malaysia. Tun Dr Mahathir mengakhiri ucapan beliau dengan mengingatkan bahawa pemimpin negara akan mencorakkan masa depan Malaysia dan oleh itu, rakyat perlu membuat keputusan tepat dalam memilih pemimpin.


Tun Dr Mahathir meneliti Pameran Kemerdekaan, yang memaparkan kronologi Merdeka dan penubuhan Malaysia.


Setelah majlis dialog berakhir, Tun Dr Mahathir Mohamad melawat Pameran Kemerdekaan yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya sehingga 30 September 2024. Pameran ini memaparkan kronologi Merdeka dan penubuhan Malaysia, dan foto-foto lama yang berkaitan. Terdapat juga kereta Proton Saga model pertama bagi tatapan pengunjung. Semua dijemput hadir, dan pameran adalah percuma.


Galeri Foto:

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi:
📞 Puan Hasniza Hashim di talian: 03-8885 8954 (✉️ hasniza@perdana.org.my)
📞 Puan Nurul Humaira di talian: 03-8885 8960 (✉️ humaira@perdana.org.my).

blue-sfera