Dikaji & Diperkenalkan oleh: Professor Dr Siti Hawa Haji Salleh
Penerbit: Yayasan Karyawan & Penerbit Universiti Malaya
Tahun Penerbitan: 1998
Bahasa: Bahasa Melayu
Ringkasan:
Hikayat Merong Mahawangsa adalah hasil kesusasteraan Melayu tradisional yang termasuk dalam genre sastera sejarah. Dalam penulisannya, ditemui beberapa unsur persamaan dengan karya-karya dalam genre yang sama, seperti Hikayat Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Banjar, dan sebagainya. Unsur-unsur persamaan ini wujud kerana karya-karya ini dikarang memenuhi peranan mengemukakan asal usul dan jurai keturunan raja-rajanya serta sejarah negara kota masing-masing.
Sebagai sebuah hasil penulisan sejarah tradisional, hikayat ini melangkah jauh ke belakang, kepada suatu zaman yang awal dalam sejarah. Pensejarahan itu bergerak daripada suatu masa yang penuh misteri dan kesamaran kea rah zaman yang semakin cerah apabila bertambah dekat menghampiri zaman pengarang sendiri. Di bahagian awal, pengarang menggunakan mitos, lagenda, dan cerita-cerita daripada tradisi lisan untuk menguatkan hujahnya, sementara dalam bahagian kemudian pengarang lebih banyak mengemukakan unsur reality.
Hikayat ini menyumbang keterangan tentang asal-usul keturunan raja-raja Kedah dari sudut mitos dan lagenda. Pengarang tidak menyebut Iskandar Zulkarnain dari Makadunia sebagai sumber asal usul raja-raja Keadh tetapi mengesan asal usulnya daripada keturunan raja-raja Rom yang sebenarnya senama atau sedaerah dengan tokoh lagend aitu. Sambil mematuhi segala syarat dalam konvensi penulisan sejarah tradisional, pengarang hikayat ini mencipta suatu karya yang uni kerana menggemblengkan unsur-unsur tersebut dengan caranya yang tersendiri. Keistimewaan ini diperkuat lagi dengan gambaran nilai pemikiran dan budaya masyarakat setempat di samping penggunaan Bahasa persuratan Melayu Kedah yang kaya dengan pelbagai unsur kedaerahan. Semua faktor ini dan yang lain-lain lagi yang dibincangkan di sini mengangkat hikayat ini ke taraf sastera klasik dan karya agung.
Petikan:
“Maka Raja Merong Mahawangsa pun segeralah naik ke atas beranda bahteranya dengan alat senjatanya. Demi dilihat oleh Raja Merong Mahawangsa yang datang itu bukannya daripada rebut taufan, hanya bunyi sayap burung terbang juga, akan datang rupanya hendak merosakkan segala perahu yang dinaik sekaliannya. Maka Raja Merong Mahawangsa pun bertitah kepada sekaliannya suruh beringat-ingat alat senjata masing-masing tangan serta mengisi ubat bedil Meriam, jangan dialpakan. Demi didengar oleh sekaliannya titah Raja Merong Mahawangsa yang demikian itu, maka sekalian itu pun mengerahkan sekalian orangnya suruh beringat-ingat serta memegang senjata masing-masing tangan.
Adapun burung geroda itu setelah nyatalah Angkatan anak raja Rom itu, maka datanglah marahnya lalu ia pun terbang datang menyambar, langsung dihalakannya ke sebelah matahari jatuh. Maka Raja Merong Mahawangsa pun menarik busur anak panahnya yang Bernama Ayun-ayunan itu ke udara, bergemuruhlah bunyinya seperti halalintar membelah. Maka segera ditepiskan dengan sayapnya, tiada kena.”