Penulis: Muhammed Abdul Khalid
Penerbit: DuBook Press Sdn Bhd
Tahun Penerbitan: 2017
Bahasa: Bahasa Melayu
Sinopsis:
Tiga dari empat kaum Bumiputera yang menabung di Amanah Saham Bumiputera hanya mempunyai simpanan kurang dari RM600 sahaja. Lebih kurang satu daripada lima penyimpan di KWSP yang hamper bersara hanya mempunyai simpanan tidak sampai RM10,000. Jurang pendapatan masih tinggi, dan dijangka akan terus tinggi.
Di mana silapnya, terutamanya di kalangan Bumiputera walau pun pelbagai polisi dilaksanakan dan berpuluh agensi telah ditubuhkan? Adakah kerana kelemahan Dasar Ekonomi Baru? Atau kerana Bumiputera malas, boros, tiada kelulusan tinggi atau pun ada faktor lain?
Buku yang ditulis oleh pakar ekonomi muda ini akan menyingkap mengapa jurang pendapatan berlaku dan apakah yang boleh kita lakukan untuk mengatasinya. Kita tidak mahu berasa di takuk lama, yang kaya bertambah kaya, dan yang miskin tetaplah begitu.
Petikan:
“Meskipun Malaysia telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dan jurang ekonomi, terutamanya dari tahun 1970 hingga 1990, jurang kekayaan masih tinggi. Dan jurang kekayaan initelah kekal di tahap yang sama sepanjang 20 tahun yang lalu. Lebih membimbangkan, jurang pendapatan antara isi rumah bandar dan desa pada tahun 2012 sebenarnya berada di tahap sama pada tahun 1957! Malah dari segi pendapatan, perbezaan pendapatan bulanan di antara bandar dan desa telah melebar dari segi mutlak, dari hanya RM214 sebulan pada tahun 1970 kepada RM3,002 pada tahun 2014. Adalah tidak dinafikan bahawa masyarakat desa telah merasai kemajuan sosioekonomi yang pesat sejak merdeka. Namun begitu, perbezaan yang wujud antara penduduk bandar dan desa masih besar.
Jurang antara golongan kaya dan miskin masih lagi tinggi. Walaupun pendapatan isi rumah bagi segenap lapisan masyarakat telah meningkat sejak tahun 1970, jurang pendapatan bulanan isi rumah antara golongan 20% teratas (T20) dan 40% terbawah (B40) dalam masyarakat kita makin melebar. Pada tahun 1970 jurangnya hanyalah RM659 sebulan, kini perbezaan pendapatan bulanan antara golongan ini meningkat kepada RM11,768!”