Dato' Seri Najib Razak

2009 - 2018

1 Malaysia ialah kempen yang diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak pada 16 September 2008, menyeru agar kabinet, agensi kerajaan, dan penjawat awam menekankan keharmonian etnik, perpaduan nasional, dan tadbir urus yang cekap.

Dilahirkan pada 23 Julai 1953, di Bukit Bius, Kuala Lipis, Pahang

Menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 3 April 2009

Beliau mempunyai lima anak: Mohd Nizar, Mohd Nazifuddin, Puteri Norlisa, Mohd Norashman, dan Nooryana​

Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-6 dari 2009 hingga 2018, ialah seorang ahli politik Malaysia. Beliau sebelum ini memegang jawatan Presiden dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti dominan dalam Barisan Nasional Malaysia (BN). Gabungan ini telah mengekalkan kawalannya ke atas kerajaan Malaysia sebagai majoriti parlimen selama lebih daripada enam puluh tahun, sehingga kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Umum 2018.

Dato’ Seri Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953 di kediaman rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang di Bukit Bius, Kuala Lipis, Pahang. Beliau merupakan anak sulung daripada lima adik beradik. Bapanya merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kedua iaitu Tun Abdul Razak, dan beliau juga merupakan anak saudara kepada Perdana Menteri yang ketiga, Tun Hussein Onn. Dato’ Seri Najib juga merupakan salah seorang daripada Empat Bangsawan Pahang Darul Makmur (Mahkamah Diraja) berdasarkan gelaran yang diwarisinya sebagai Orang Kaya Indera Shahbandar. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di St. John’s Institution, Kuala Lumpur. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di  Kolej Malvern di Worcestershire, England, dan kemudiannya menuntut di Universiti Nottingham, di mana beliau menerima ijazah sarjana muda dalam Ekonomi Perindustrian pada tahun 1974. Dato’ Seri Najib Razak kembali ke Malaysia selepas tamat pengajian, dan berkecimpung dalam dunia perniagaan,dan berkhidmat sebentar di Bank Negara, Malaysia dan kemudiannya dengan Petronas sebagai pengurus hal ehwal awam.

Pada tahun 1976, Dato’ Seri Najib berkahwin dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar (‘Kui Yie’) dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd Nizar Najib, Puteri Norlisa Najib dan Mohd Nazifuddin Najib. Pada tahun 1987, beliau bercerai dengan Kui Yie dan berkahwin dengan Datin Seri Rosmah Mansor dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nooryana Najwa Najib dan Mohd Norashman Najib. Anak perempuannya, Nooryana Najwa berkahwin dengan anak saudara Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev.

Dato’ Seri Najib telah dipilih ke Parlimen Malaysia pada tahun 1976 dan menggantikan arwah bapanya di kerusi Pekan yang bertempat di Pahang. Negara yang masih berduka berikutan kematian Tun Abdul Razak dan atas dasar penghormatan kepada bapanya sekaligus membantu Dato’ Seri Najib memenangi pilihan raya tanpa bertanding sebagai Ahli Parlimen pada usia yang sangat muda iaitu 23 tahun. Pada tahun 1986, Beliau memenangi pemilihan semula di kerusi yang sama.

Pada tahun 1982 sehingga 1986, beliau adalah Menteri Besar Pahang, sebelum memegang pelbagai jawatan kabinet sepanjang tahun 1980-an dan 1990-an, termasuk Menteri Pertahanan dan Menteri Pendidikan. Pada tahun 2004, beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri di bawah kepimpinan Perdana Menteri iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan beliau menggantikan Tun Abdullah pada tahun 2009. Di bawah kepimpinannya, Barisan Nasional memenangi pilihan raya 2013, walaupun buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, ia kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Dato’ Seri Najib Razak menyertai Kabinet Malaysia pada usia 25 tahun apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada 1978, menjadi timbalan menteri termuda di negara ini. Beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang antara 1982 dan 1986, menjadi Menteri Besar termuda di negeri itu yang menjawat jawatan apabila mengangkat sumpah pada usia 29 tahun. Pada tahun 1986 beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau memberi tumpuan untuk meningkatkan sukan Malaysia dan memperkenalkan Dasar Sukan Negara pada tahun 1988. Pada tahun 1989,  Malaysia mencapai prestasi terbaiknya di Sukan Asia Tenggara (SEA), yang diadakan di Kuala Lumpur.

Dato’ Seri Najib dilantik sebagai ketua Pemuda UMNO cawangan Pekan dan menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pemuda UMNO pada tahun 1976. Pada tahun 1981, beliau dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO, sebelum memenangi jawatan Naib Presiden Pemuda UMNO pada 1982. Pada tahun 1987, beliau dipilih sebagai pemangku Ketua Pemuda UMNO oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim selepas beliau diminta bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Berikutan penyusunan semula UMNO sepenuhnya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selepas krisis perlembagaan Malaysia 1988, Dato’ Seri Najib dilantik sebagai Presiden Pemuda UMNO pada 1988. Menjelang tahun 1993, beliau dipilih sebagai salah seorang daripada enam naib presiden UMNO sebagai tindak balas kepada Keputusan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan timbalan presiden. Dato’ Seri Najib terus mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang diadakan pada tahun 1993, 1996, dan 2004.

Sebagai Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib membatalkan peraturan yang memerlukan 30% pemilikan Melayu dalam syarikat, dan berusaha untuk memperbaiki hubungan dengan negara jiran Singapura. Beliau merangka pelan rangsangan yang bercita-cita tinggi, dikenali sebagai Model Ekonomi Baru, untuk menggandakan pendapatan per kapita Malaysia menjelang 2020, dan secara kontroversi membayangkan rancangan untuk mengalihkan beberapa dasar tindakan afirmatif pro-Melayu negara kepada pendekatan berasaskan keperluan.

Pada 12 Mei 2018, berikutan dengan kekalahan dan buat pertama kalinya  dalam sejarah Malaysia – Barisan Nasional kalah kepada Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Umum yang ke-14, Dato’ Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN dan  beliau digantikan oleh Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.

* Biografi Dato’ Seri Najib ini diperolehi daripada Al-Jazeera, Wikipedia, termasuk Britannica.com dan thefamouspeople.com

1953: Dilahirkan di Kuala Lipis pada 23 Julai.

1974: Lulus dengan Ijazah Sarjana Muda dalam Ekonomi Perindustrian di Universiti Nottingham. Beliau pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian dan menceburi dunia perniagaan.

1976: Dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO di Pekan, Pahang dan Ahli EXCO Pemuda UMNO.

1977-1979: Dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ternakan (Majuternak)

1978-1980: Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos

1980-1981: Timbalan Menteri Pendidikan

1981: Menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO

1981-1982: Timbalan Menteri Kewangan

1982-1986: Menjadi Menteri Besar Pahang

1986-1987: Dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia & Sukan

1990-1995: Dilantik sebagai Menteri Pertahanan

19995-199: Dilantik sebagai Menteri Pendidikan

2004: Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri

2008: Memenangi Pilihan Raya Umum, dan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6

2018: Datuk Seri Najib meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN sejurus kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-14 dan digantikan oleh Timbalan Presiden UMNO (yang menjalankan tugas Presiden), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sesungguhnya kerajaan sentiasa memberi perhatian dan keutamaan terhadap perkembangan pengajian tinggi. Ini bersesuaian dengan peranan universiti iaitu perkhidmatan pengajian tinggi yang mempunyai kaitan langsung dengan pemikiran masyarakat, model ekonomi dan kemahiran tinggi dalam segala bidang. Sehubungan itu apabila saya dilantik menjadi Perdana Menteri setahun lalu, banyak dasar dan inisiatif melibatkan pengajian tinggi, Ini begitu ketara apabila saya, mengumumkan Model Baru Ekonomi (MBE) pada hari selasa lalu.

Peranan institusi pengajian tinggi dalam Model Baru Ekonomi tidak terhad kepada pembinaan generasi yang terpelajar dengan menyediakan program akademik bermutu. Malah peranan tersebut diperluaskan lagi kepada penjanaan ekosistem intelektual subur untuk perkembangan kreativiti dan inovasi, penjanaan nilai tinggi bagi melonjakkan ekonomi Malaysia bersaing menjadi negara maju menjelang tahun 2020.” – Ucapan sempena pelancaran Majlis Profesor Negara “Mengangkat Tradisi Kesarjanaan” pada 1 April 2010 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

 

60 tahun yang lalu, di Stadium Merdeka, seluruh rakyat negara ini berasa gembira kerana, setelah beratus tahun dibelenggu penjajahan, menyaksikan detik bersejarah laungan pengisytiharan kemerdekaan negara sebanyak 7 kali telah berkumandang.

Kini, setelah 6 dekad berlalu, sekali lagi, Alhamdulillah, seluruh rakyat berasa bersyukur dan bangga kerana, saat indah itu umpama berlaku kembali, apabila pada malam ini,… di Stadium Bukit Jalil, seluruh negara,… seluruh ASEAN,… bahkan serata dunia menyaksikan bahawa di hari terakhir penutupan ini, Malaysia secara rasminya, telah diisytiharkan sebagai juara keseluruhan temasya Sukan SEA Kali Ke-29. Tahniah Malaysia, Syabas kepada semua!

Apatah lagi, sepanjang penyertaan Malaysia dalam Sukan SEA, inilah sejarah gemilang dengan pungutan pingat terbanyak sepanjang penglibatan negara dalam Sukan SEA. Sememangnya, kemenangan para atlet negara ini, adalah kejayaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Marilah kita mengangkat tabik dan ucapkan syabas kepada semua wira negara, yakni para atlet Malaysia!UCAPAN SEMASA MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN SUKAN SEA KE-29 KUALA LUMPUR 2017 & AMBANG MERDEKA 2017 PADA 30 OGOS 2017

 

“Kepimpinan yang bakal diwujudkan wajar membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru, demi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat.

Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Kita akan rapatkan hubungan Rakyat dan Kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik” Ucapan Sulung Perdana Menteri Keenam, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak pada 4 April 2009. 

 

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tersebut dan tindakan terkutuk itu benar-benar bertentangan serta terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

Sedangkan ajaran Islam yang suci menganjurkan kedamaian dan mengajak manusia berpegang kepada prinsip wasatiyyah, yakni kesederhanaan, dengan tidak terlalu ekstrem dalam kefahaman, bukan pula sangat liberal atau longgar akidahnya dalam beragama. Sememangnya, kita sentiasa mengutuk sebarang tindakan yang tidak berperikemanusian, waima dilakukan oleh sesiapapun tanpa mengira agama, keturunan dan sempadan geografi.

Lantaran, Kerajaan akan meningkatkan pemantauan dan keselamatan, agar fahaman ekstrem seperti militan IS ini, tidak akan merebak serta menular masuk ke negara ini.

Seterusnya, Malaysia akan terus beristiqamah bagi membantu dan memperjuangkan nasib golongan yang tertindas, di seluruh dunia.” Ucapan Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak Semasa Perutusan Hari Raya Aidilfitri pada 11 Julai 2015