Author: Shaharom T.M. Sulaiman,Mohammad Fazli Baharuddin
Publisher: IM Books Everything, 2016
ISBN: 9789671720059
Call Number: 021.2 SHA
Synopsis:
Ketika memasuki perpustakaan itu (Perpustakaan Iskandariah), saya ibarat tenggelam dalam lautan buku yang mengasyikkan, saya ingin mencapai apa saja buku yang tersergam erat dicelah-celah rak yang tersusun rapi dan terasa ingin membaca segala buku yang terdapat di dalamnya. Saya tidak tahu buku mana yang harus saya dahulukan tetapi ‘jiwa’ saya seakan-akan berkata “bacalah kesemuanya” kerana kamu tidak mempunyai masa kerana terlalu banyak ilmu yang ingin diketahui. Akhirnya saya capai apa saja buku yang hampir dengan saya dan ‘keghairahan’ itu amat mempersonakan sehingga tanpa disedari masa telah lama berjalan. Saya tersedar apabila pustakawan memberitahu, masa penutupan perpustakaan telah hampir. Saya memandang raut mukanya (pustakawan), hati kecil seolah-olah mahu berkata: Tinggalkan aku bersendirian, jangan ganggu aku dalam keasyikkan pengembaraan ini…Aku sedang berdialog dengan “orang-orang pintar dan bijaksana dari masa lampau dan “mereka” mencerdaskan aku,”. Kata-kata ini diungkapkan oleh Matthews Battles ketika ziarah intelektualnya ke perpustakaan-perpustakaan besar dunia.
Di sisi yang lain, ada seorang tokoh ulamak Ayatullah Ma’rashi Najafi di Qom yang mempunyai kecintaan yang tinggi terhadap buku sehingga dapat membangunkan perpustakaan peribadi yang besar dan digazetkan oleh kerajaan Iran sebagai khazanah negara. Menurut cerita anaknya, Dr. Mahmoud Ayatullah Ma’rashi, semasa pengajiannya sentiasa mengembara dan menyimpan sejumlah wang untuk membeli manuskrip sehinggalah dari masa ke masa koleksi manuskripnya semakin membesar. Beliau dikatakan sering menahan lapar untuk membolehkannya membeli kitab atau manuskrip. Ayatullah Ma’rashi sebelum meninggal telah mewasiatkan supaya jasadnya disemadikan di dalam Perpustakaan Peribadinya. Dan sekiranya kita berkesempatan mengunjunginya, akan terlihat makamnya di bahagian hadapan pintu masuk perpustakaan tersebut. Cukup mengesankan hati melihat betapa akrabnya hidup sarjana dengan dunia buku dan perpustakaan.
Sekelumit kisah yang dipaparkan ini menggambarkan pengaruh perpustakaan dalam peradaban manusia yang secara harmonisnya menggambarkan keakraban ilmu, buku, sarjana dan ini sekaligus mewarnai tradisi kesarjanaan dalam sesuatu tradisi kecendekiawanan bangsa.
For more information on the book, you may go to our Library OPAC here .