Website
Website
  • slide1
  • slide2
  • slide3
  • slide4

Biografi Tun Hussein Onn

Tun Hussein Onn: Bapa Perpaduan Malaysia
1976 - 1981

Tun Hussein Onn telah dilahirkan pada 12 Februari 1922, kepada Dato’ Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dan Datin Halimah Hussein. Beliau yang dilahirkan di Johor Bahru mendapat pendidikan awal di Singapura, dan kemudiannya di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) Johor Bahru. Tun Hussein Onn dikenali dengan usaha beliau dalam menekankan isu-isu perpaduan kaum melalui dasar-dasar yang bertujuan untuk mengatasi ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum-kaum di Malaysia. Antaranya ialah dengan melancarkan Amanah Saham Nasional. Pada tahun 1976, Tun Hussein telah melancarkan PEMADAM, sebuah organisasi khas untuk memerangi penyalahgunaan dadah. Beliau juga sering menekankan kepentingan Rukun Tetangga dan peranannya dalam memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat Malaysia. Beliau juga telah mewujudkan budaya kerja yang penuh disiplin dan integriti di dalam seluruh jabatan kerajaan. Tun Hussein cukup benci dengan gejala rasuah, dan menyifatkannya sebagai sebuah penyakit yang harus dihapus. Usaha-usaha beliau dalam memupuk perpaduan dan keharmonian sesama pelbagai kaum dan masyarakat di Malaysia tidak dipandang rendah, apabila beliau digelar sebagai "Bapa Perpaduan" negara Malaysia.

FIRST LADIES OF MALAYSIA

Biografi Ringkas
Allahyarham
Y.A.Bhg. Tun Hussein Bin Onn (1922-1990)

Dilahirkan di Johor Bahru, Hussein Onn adalah anakanda kepada Dato’ Onn Jaafar yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946. Bondanya Datin Halimah Hussein.

Tun Hussein Onn menerima pendidikan awalnya di Singapura dan di English College (kini digelar “Maktab Sultan Abu Bakar”), Johor Bahru. Selepas persekolahannya, Tun Hussein Onn menyertai Pasukan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940. Setahun kemudian, beliau dihantar ke Maktab Tentera Sandhurst di Dehradun, India. Selepas ditauliahkan, beliau menyertai Regimen Hydrabad (Tentera India) dan berkhidmat di Timur Tengah sewaktu peperangan. Selepas peperangan, kerajaan Bristish melantik Tun Hussein Onn sebagai pengajar di “Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya” di Rawalpindi.

Pada tahun 1945, Tun Hussein Onn telah pulang ke tanahair  dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru. Pada tahun berikut, beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaya sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor. Tun Hussein Onn kemudian ditugaskan untuk bekerja di negeri Selangor, di mana beliau menjadi pegawai daerah untuk Klang dan Kuala Selangor.

Tun Hussein Onn yang berasal daripada sebuah keluarga yang mempunyai semangat nasionalisme dan akar politik yang mendalam, kemudian meletakkan jawatan perkhidmatan awam untuk menyertai politik. Pada tahun 1949, beliau menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama dan kemudian, pada tahun 1950, beliau dipilih menjadi Setiausaha Agung. Bagaimanapun, Tun Hussein Onn meninggalkan UMNO pada tahun 1951 untuk menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang ditubuhkan oleh ayahandanya.

Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, Tun Hussein Onn pergi ke London untuk belajar undang-undang di Lincoln’s Inn dan berjaya melayakkan diri sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958. Beliau pulang ke Malaya sebagai seorang peguam bertauliah dan bekerja di Kuala Lumpur.

Tun Hussein Onn kembali ke politik dan menyertai UMNO pada tahun 1968 selepas dipujuk Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika itu. Beliau bertanding dan menang dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran.

Beliau telah menggantikan Tun Dr Ismail yang telah meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada 15 Januari 1976, Hussein Onn dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga selepas kematian Tun Abdul Razak.

Tun Hussein Onn sangat terkenal dalam ketegasan beliau terhadap persoalan perpaduan melalui dasar-dasar yang bertujuan semata-mata untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau meneruskan agenda pembangunan Allahyarham Tun Abdul Razak; usahanya dalam memajukan Malaysia tidak pernah lari dari sasaran Dasar Ekonomi Baru. Tun Hussein Onn sentiasa mencuba meningkatkan taraf hidup kaum Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain pada waktu itu. Oleh itu, pada 20 April 1981, beliau melancarkan Skim Amanah Saham Nasional yang merupakan satu dana amanah bumiputera yang bertujuan meningkatkan ekuiti bumiputera dalam ekonomi Negara.

Tun Hussein Onn juga memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan perjuangan terhadap ancaman dadah. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia juga diperbesar dan dipermodenkan kerana penewasan Vietnam Selatan oleh pihak komunis yang menggemparkan seluruh rantau Asia Tenggara.

Tun Hussein Onn menjalani pintasan koronari pada awal tahun 1981. Pada 17 Julai dalam tahun itu, beliau bersara daripada politik dan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas sebab-sebab kesihatan. Jawatan Perdana Menteri diambil alih oleh timbalannya, Dr. Mahathir bin Mohamad. Disebabkan perkhidmatannya kepada Negara, Tun Hussein Onn dikurniakan dengan gelaran “Tun”, yang merupakan anugerah diraja yang tertinggi di Malaysia.

Selepas persaraannya sebagai Perdana Menteri, Tun Hussein Onn meneruskan sumbangannya kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Belaiu bermain peranan yang utama dalam pertubuhan Hospital Mata Tun Hussein Onn. Beliau turut menjadi Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan penasihat kepada Petronas.

Tun Hussein menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan penyakit jantung, dan disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Tun Hussein Onn dan isterinya, Tun Suhailah,  telah dikurniakan enam orang anak; Rogayah Hanim, Dr Suraya Hani, Rodziah Hanis, Dato' Seri Hishammuddin, Dr Rozita Halina, dan Harris Onn.

AL- FATIHAH

KRONOLOGI

1922: Dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada 12 Februari.
1940: Menyertai Angkatan Tenteri Johor sebagai Kadet.
1941: Dihantar untuk mengikuti latihan ketenteraan di Akademi Ketenteraan India, Dehra Dun, India. Sedang berkhidmat dalam Tentera India apabila dihantar ke Timur Tengah semasa Perang Dunia ke-2.
1946: Pulang ke Tanah Melayu dan berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Segamat, Johor.
1949: Tun Hussein dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO.
1950: Tun Hussein dilantik sebagai Setiausaha Tertinggi UMNO
1951: Keluar daripada UMNO untuk menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), parti yang ditubuhkan oleh ayahanda Dato Onn Jaafar.
1951: Tun Hussein meninggalkan arena politik untuk menyambungkan pelajaran di Lincoln’s Inn, London.
1958: Mendapat kelulusan sebagai Barrister at Law daripada Lincoln’s Inn. Pada tahun 1962,
1968: Kembali menganggotai UMNO apabila berjaya diyakinkan oleh Tun Abdul Razak.
1969: Menang apabila bertanding dalam Pilihan Raya Umum. Dipilih sebagai Menteri Pelajaran Malaysia.
1973: Dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Tun Dr. Ismail Abdul Rahman meninggal dunia.
1976: Menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga berikutan kematian mengejut Tun Abdul Razak.
1978: Permodalan Nasional Berhad (PNB) ditubuhkan untuk menggalakkan Bumiputera memegang saham.
1981: Melancarkan Amanah Saham Nasional pada 20 April.
1981: Meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia atas faktor kesihatan.
1990: Tun Hussein Onn kembali ke rahmatullah akibat serangan jantung. Tun Hussein berada di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat ketika beliau meninggal dunia.

SUMBANGAN

Perpaduan Kaum
Sebagai Perdana Menteri Malaysia, Tun Hussein Onn telah memastikan bahawa isu perpaduan kaum sentiasa berada di hadapan dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Pada tahun 1974, Tun Hussein telah melancarkan National Unity Council untuk memupuk semangat cintakan negara ke dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, berdasarkan Rukun Negara, dan untuk mempertingkat hubungan antara kerajaan dan orang awam. Tun Hussein juga percaya bahawa bahasa adalah satu alat yang berkesan untuk perpaduan kaum. Beliau memartabatkan Bahasa Malaysia dan menjadikannya sebagai subjek yang wajib lulus, untuk lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

PEMADAM
Pada tahun 1976, Tun Hussein telah melancarkan PEMADAM, sebuah organisasi kebangsaan yang ditubuhkan khas untuk memerangi penyalahgunaan dadah, sesuatu yang dianggap sebagai cabaran terbesar untuk pembangunan negara.

Ekonomi
Pada 20 April 1981, Tun Hussein Onn telah melancarkan Sekim Amanah Saham Nasional sebagai satu usaha untuk meningkatkan taraf equity penduduk Bumiputera di Malaysia.

Keselamatan
Tun Hussein juga sering menekankan kepentingan Rukun Tetangga dan peranannya dalam memastikan keselamatan penduduk dalam masyarakat Malaysia.

_______________________________________________________________________________

Biografi lebih lengkap yang disampaikan melalui kronologi interaktif boleh didapati di sini: https://www.perdana.org.my/pms-of-malaysia/visual-timeline

Anda juga boleh memuat-turun biografi infografik mantan Perdana Menteri Malaysia di sini: https://www.perdana.org.my/pms-of-malaysia/biography-infographics

Sign up to receive our emails and be alerted of our programmes.

 

 

© 2018 Perdana Leadership Foundation. All rights reserved.