Website
Website
  • slide1
  • slide2
  • slide3
  • slide4

Biografi Tun Abdullah Ahmad Badawi

Dikenali di Malaysia sebagai “Bapa Pembangunan Modal Insan”,  Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah memperkenalkan Pelan Integriti Nasional, satu pelan untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti dalam kalangan masyarakat Malaysia. Untuk menghapuskan rasuah, Tun Abdullah telah menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Beliau juga telah menubuhkan Pasukan Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) sebagai usaha untuk mengurangkan birokrasi dalam urusan di antara kerajaan dan swasta. Di dalam dunia ekonomi pula, beliau telah bertanggungjawab atas pemodenan sector agrikultur dan melancarkan 5 Koridor Ekonomi Malaysia termasuklah Iskandar Malaysia di Johor, Koridor Pantai Timur (ECER), dan Koridor Pembangunan Sabah. Dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam pentadbiran awam, Tun Abdullah telah berjaya meningkatkan mutu perkhidmatan sektor awam untuk kemudahan rakyat, dan mewujudkan agensi-agensi kerajaan untuk meningkatkan mutu pengurusan.

FIRST LADIES OF MALAYSIA

Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam, Kepala Batas. Manakala pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Daeratul Maarifil Al-Wataniah, Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan Sekolah Lelaki Methodist Pulau Pinang. Selepas menamatkan persekolahan, beliau pernah berkhidmat sebagai seorang guru. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya selama tiga tahun (1962-1964) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Pengajian Islam.

Tun Abdullah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Pengaman Persekutuan, di Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri dari tahun 1964 sehingga 1969. Pada tahun 1969, beliau telah menjadi Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan di bawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang telah ditubuhkan selepas peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Pada tahun 1971, Tun Abdullah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sehingga 1973, sebelum menjadi Timbalan Ketua Pengarah dalam Kementerian yang sama pada tahun 1974.

Tun Abdullah mula menyertai UMNO pada tahun 1965. Beliau mula bergiat aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas. Pada tahun 1978, beliau telah meletak jawatan dalam perkhidmatan kerajaan untuk menjadi ahli politik sepenuh masa. Pada tahun yang sama, beliau telah bertanding pada Pilihan Raya Umum 1978 sebagai calon Barisan Nasional dan memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas di Seberang Perai Utara. Tun Abdullah telah dipilih untuk memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987, 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Tun Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi tahun 2000-2003. Beliau memegang jawatan sebagai Presiden UMNO sejak tahun 2003 sehingga 2008.

Pada tahun yang 1978, Tun Abdullah telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen kepada Kementerian Wilayah Persekutuan. Pada tahun 1980, beliau kemudian dinaikkan pangkat kepada Timbalan Menteri di Kementerian yang sama. Selepas itu, Tun Abdullah mula memegang jawatan Menteri; bermula di Jabatan Perdana Menteri (1981 – 1984); Kementerian Pendidikan (1984 – 1986); Kementerian Pertahanan (1986-1987); dan Kementerian Luar Negeri (1991 – 1999). Pada tahun 1999, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan Menteri Pertahanan. Beliau akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-5 pada 31 Oktober 2003 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatannya. Tun Abdullah telah memimpin negara selama enam tahun sebelum beliau sendiri meletakkan jawatan dan digantikan oleh timbalannya Dato’ Seri Najib Razak pada 2 April 2009.

Tun Abdullah secara tidak rasminya digelar dengan nama timangannya iaitu Pak Lah. Antara hobi-hobi beliau termasuklah mengumpul tongkat, bermain golf, dan memancing. Dikenali sebagai seorang yang tidak percaya kepada kepercayaan karut, nombor kegemaran beliau ialah nombor 13, nombor yang dianggap tidak bertuah dalam masyarakat Barat.

Tun Abdullah telah berkahwin dengan arwah Tun Endon Mahmood pada tahun 1965. Perkahwinan mereka namun cuma bertahan 40 tahun apabila Tun Endon Mahmood meninggal akibat barah payu dara pada tahun 2005. Mereka dikurniakan dengan dua cahaya mata iaitu Kamaluddin Abdullah, dan Nori Abdullah. Tun Abdullah kemudian berkahwin dengan Tun Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007.

Kronologi

1939: Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 26 November.
1964: Memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya; menjadi Penolong Setiausaha, Jabatan Perkhidmatan Awam.
1965: Berkahwin dengan Datin Paduka Seri Endon Mahmood.
1969: Dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha kepada Majlis Gerakan Negara, Jabatan Perdana Menteri Malaysia.
1971: Dilantik sebagai Ketua Pengarah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
1974: Dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
1978: Menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas; juga menjadi Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan.
1979: Menjadi Ketua UMNO Cawangan Bertam serta Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas.
1980: Dilantik sebagai Timbalan Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan.
1981: Menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO; menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
1984: Dilantik sebagai Menteri Pendidikan, dan menjadi Naib Presiden UMNO.
1986: Dilantik sebagai Menteri Pertahanan.
1987: Dilucutkan jawatan sebagai Menteri Pertahanan kerana menyokong mentornya, Musa Hitam dalam “Team B” UMNO.
1988: Dijemput masuk ke UMNO Baru sebagai Naib Presiden.
1991: Dilantik sebagai Menteri Luar Negeri.
1999: Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, selepas Dato Seri Anwar Ibrahim dipecat.
2000: Menjadi Timbalan Presiden UMNO.
2003: Menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-5.
2004: Tun Abdullah melancarkan Dasar Integriti Kebangsaan.
2004: Dipilih sebagai Presiden UMNO, selepas menang tanpa bertanding.
2004: Barisan Nasional menang besar dalam Pilihan Raya Umum.
2005: Tun Endon Mahmood meninggal dunia akibat barah payu dara.
2006: Tun Abdullah memperkenalkan 5 Koridor Ekonomi Malaysia.
2007: Berkahwin dengan Datin Seri Jeanne Abdullah pada 9 Jun.
2008: Mengumumkan tidak akan bertanding untuk jawatan Presiden UMNO, selepas keputusan terburuk Pilihan Raya Umum dalam sejarah Barisan Nasional.
2009: Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-5, dan digantikan oleh Timbalannya, Dato’ Seri Najib Razak.

 

Sumbangan

Ekonomi
Tun Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan 5 Koridor Ekonomi Malaysia; 1) Iskandar Malaysia, 2) Wilayah Ekonomi Utara; 3) Wilayah Ekonomi Pantai Timur; 4) Koridor Pembangunan Sabah; & 5) Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak. Wilayah ekonomi ini telah diperkenalkan dengan tujuan untuk meningkatkan pembangunan dan ekonomi kelima-lima wilayah ini.

Menghapuskan Rasuah
Menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) untuk menangani masalah rasuah di sektor awam dan swasta.

Pembangunan Modal Insan
Tun Abdullah telah melancarkan Pelan Integriti Nasional, dan Institut Integriti Malaysia (IIM), bertujuan untuk menanam dan memupuk budaya etika dalam setiap lapisan masyarakat Malaysia.

Islam Hadhari ialah konsep yang telah diperkenalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi. Polisi nasional ini memberi focus kepada peningkatan pembangunan dan mutu kehidupan sesebuah masyarakat secara keseluruhan, dengan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang, dan pembangunan modal insan. 10 teras strategi telah diperkenalkan sebagai panduan untuk mencapai Islam Hadhari.

_______________________________________________________________________

Biografi lebih lengkap yang disampaikan melalui kronologi interaktif boleh didapati di sini: https://www.perdana.org.my/pms-of-malaysia/visual-timeline

Anda juga boleh memuat-turun biografi infografik mantan Perdana Menteri Malaysia di sini: https://www.perdana.org.my/pms-of-malaysia/biography-infographics


Sumber:

•    https://ms.wikipedia.org/wiki/Abdullah_bin_Ahmad_Badawi
•    https://www.perdana.org.my
•    https://biodata-tokoh.blogspot.com
•    Kenali Tun Abdullah Ahmad Badawi / Maruwiah Ahmad. 2010. Selangor : Eagle Publications.
•    Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi : bapa pembangunan modal insan negara / Syed Muhamad Dawilah Al-Edrus, Hussain Othman & Ahmad Esa. 2010. Johor

Sign up to receive our emails and be alerted of our programmes.

 

 

© 2018 Perdana Leadership Foundation. All rights reserved.