
Program “Dialog Merdeka: Kepimpinan Malaysia dalam Menghadapi Krisis” anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), yang diadakan pada 27 Ogos 2025 di Auditorium YKP, mencetuskan perbincangan dan renungan mengenai peranan pemimpin dalam menangani krisis semasa memimpin negara.
Program yang dihadiri oleh ahli akademik, pelajar institusi pengajian tinggi, dan orang awam ini telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh Puan Zarina Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Kepimpinan Perdana yang menyatakan bahawa, “Malaysia telah melalui pelbagai cabaran—daripada Konfrontasi, ancaman komunis, tragedi 13 Mei, kejutan ekonomi seperti Krisis Kewangan Asia 1997, hinggalah pandemik Covid-19. Kini, kita terus berdepan isu kos sara hidup, persaingan serantau, dan ketidaktentuan geopolitik global. Setiap cabaran ini menguji kepimpinan negara. Namun, dari setiap krisis, kita dapat mengutip pelajaran yang tidak ternilai tentang wawasan, pendekatan, dan keberanian membuat keputusan demi kestabilan serta kedaulatan negara.”



Program ini diserikan dengan ucaptama penutup YABhg Tun Dr Mahathir bin Mohamad, Dalam ucapan, beliau menegaskan bahawa kemerdekaan adalah anugerah paling berharga yang tidak boleh dipandang ringan. Beliau mengingatkan bahawa kebebasan yang dinikmati hari ini dibayar dengan harga yang tinggi oleh generasi terdahulu, termasuk para nasionalis yang berjuang sejak zaman penjajahan Portugis sehinggalah era British.

Beliau menekankan bahawa simbol-simbol negara seperti bendera Jalur Gemilang perlu dihormati kerana ia melengkapkan erti kemerdekaan. “Jika sebelum merdeka kita dipaksa berdiri untuk bendera asing, hari ini kita perlu berdiri dengan rela untuk bendera kita sendiri. Sekurang-kurangnya, kibarkanlah bendera kita dengan sempurna, kerana jika tidak, itu merupakan satu penghinaan kepada pejuang kemerdekaan,” tegasnya. Tun Dr Mahathir turut meluangkan masa menjawab beberapa soalan daripada peserta. Sesi interaktif ini juga dikendalikan oleh Encik Eddin Khoo, selaku moderator.

Dialog ini turut menampilkan tiga ahli panel yang terkemuka, iaitu Tan Sri Dr Syed Hamid Albar, mantan Menteri Kabinet; Datuk A Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara; dan Profesor Dato’ Dr Sivamurugan Pandian, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia. Sesi dialog dikendalikan oleh pengasas PUSAKA, Encik Eddin Khoo.
Tan Sri Dr Syed Hamid Albar menegaskan bahawa memahami definisi sebenar krisis amat penting bagi memastikan tindak balas kepimpinan yang tepat dan berkesan. Menurut beliau, krisis ialah keadaan luar biasa yang berlaku secara mendadak hingga menggugat kestabilan negara, organisasi, atau masyarakat, sekali gus menuntut tindakan segera, keputusan pantas, dan kepimpinan berkesan. Beliau menjelaskan bahawa krisis boleh bersifat dalaman, seperti skandal integriti institusi atau konflik politik, mahupun luaran, seperti pandemik, konflik geopolitik, atau krisis ekonomi global. “Dalam setiap krisis, yang membezakan jatuh atau bangunnya sesebuah negara ialah kualiti kepimpinan. Pemimpin perlu cekap, berani, dan berwawasan untuk meminimumkan kerosakan serta mengembalikan keyakinan rakyat dan dunia,” tegasnya.
Sementara itu, Datuk A Kadir Jasin berkongsi pengalamannya ketika menjadi wartawan hanya sebulan selepas peristiwa 13 Mei 1969. Beliau menyatakan bahawa setiap pemimpin mempunyai cara tersendiri dalam menangani krisis. Dalam ucapannya, beliau turut menyebut bagaimana Perdana Menteri Malaysia, dari yang pertama hingga yang kelima, menangani krisis yang timbul sepanjang pentadbiran mereka. “Antara tesis mengenai 13 Mei 1969 ialah ia bukan semata-mata berpunca daripada perbezaan politik. Peristiwa ini tercetus dan menjadi lebih buruk kerana faktor lain, khususnya jurang ekonomi yang wujud ketika itu.”
Profesor Dato’ Dr Sivamurugan Pandian menekankan perbezaan jelas antara kemelut kepimpinan dan krisis kepimpinan yang perlu difahami oleh masyarakat. Menurut beliau, kemelut kepimpinan merujuk kepada keadaan yang tidak stabil, penuh cabaran serta wujud ketidakpastian, namun sistem politik dan pentadbiran negara masih berfungsi. Sebaliknya, krisis kepimpinan berlaku apabila situasi menjadi kritikal hingga mengancam keabsahan kerajaan, keberkesanan institusi, serta keyakinan rakyat dan antarabangsa. Beliau menambah “Krisis adalah titik perubahan apabila keputusan perlu dibuat. Negara ini sendiri lahir daripada krisis, apabila pemimpin kita bersetuju dalam ketidaksetujuan, sanggup berkompromi dan berkorban demi membina asas kemerdekaan.”
Encik Eddin Khoo, selaku moderator sesi dialog, menyatakan bahawa sehari tanpa krisis sering dianggap sebagai sehari tanpa berita. Namun, beliau menegaskan bahawa apabila melihat kepada keadaan dunia, Malaysia sebenarnya telah dikemudikan dengan baik dan teliti.
Setelah majlis dialog berakhir, Tun Dr Mahathir bin Mohamad melawat dua pameran yang sedang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya sehingga 30 September 2025. Pameran Kemerdekaan menampilkan segmen utama seperti Visi Strategik & Pertumbuhan Ekonomi, Pembangunan Infrastruktur, Kedudukan Global, serta Pembangunan Wanita di Malaysia, dengan tujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap perjalanan pembangunan negara sejak merdeka.
Manakala, Pameran Istimewa ‘The Centennial Celebration’ diadakan sempena ulang tahun ke-100 Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada 10 Julai 2025. Pameran ini mengetengahkan petikan ucapan, perjalanan kepimpinan, liku-liku hidup serta pencapaian Tun dalam membentuk arah tuju Malaysia. Ia bukan sahaja menghimpunkan sejarah, tetapi juga berperanan sebagai wadah pendidikan untuk generasi muda memahami warisan kepimpinan negara.
Orang ramai dijemput hadir ke pameran ini. Pameran dibuka setiap Isnin hingga Sabtu, dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang, dan kemasukan adalah percuma.
Sesi Dialog Merdeka bersama Panelis dan Moderator











Ucaptama Penutup oleh YABhg Tun Dr Mahathir bin Mohamad












