Tun Hussein Onn

1976 - 1981

Tun Hussein Onn dikenali dengan usaha beliau dalam menekankan isu-isu perpaduan kaum melalui dasar-dasar yang bertujuan untuk mengatasi ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum-kaum di Malaysia. Mengenangkan usaha-usaha beliau dalam memupuk perpaduan dan keharmonian sesama pelbagai kaum dan masyarakat di Malaysia, beliau digelar “Bapa Perpaduan”.

Dilahirkan pada 12 Februari 1922

Menjadi Perdana Menteri ke-3 Malaysia pada 15 Januari 1976

Beliau digelar "Bapa Perpaduan"

Tun Hussein Onn telah dilahirkan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru. Beliau merupakan anak sulung kepada Dato’ Onn Jaafar, dan Datin Halimah Hussein. Beliau menerima pendidikan awal di Singapura, dan kemudiannya di English College, Johor Bahru (kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar).

Tun Hussein Onn dikenali dengan usaha beliau dalam menekankan isu-isu perpaduan kaum melalui dasar-dasar yang bertujuan untuk mengatasi ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum-kaum di Malaysia. Antaranya ialah dengan melancarkan Amanah Saham Nasional. Pada tahun 1976, Tun Hussein telah melancarkan PEMADAM, sebuah organisasi khas untuk memerangi penyalahgunaan dadah. Beliau juga sering menekankan kepentingan Rukun Tetangga dan peranannya dalam memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat Malaysia.

Beliau mewujudkan budaya kerja yang penuh disiplin dan integriti di dalam seluruh jabatan kerajaan. Tun Hussein cukup benci dengan gejala rasuah, dan menyifatkannya sebagai sebuah penyakit yang harus dihapus “sebelum ianya menjadi barah.”

Usaha-usaha beliau dalam memupuk perpaduan dan keharmonian sesama pelbagai kaum dan masyarakat di Malaysia memberi beliau gelaran “Bapa Perpaduan”.

previous arrow
next arrow
Slider

Tun Hussein Onn dilahirkan pada 12 February 1922 di Johor Bahru. Beliau merupakan anak sulung kepada Dato’ Onn Jaafar, dan Datin Halimah Hussein.

Beliau menerima pendidikan awal di Teluk Kurau School (kini Teluk Kurau Primary School) di Singapura dan di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Bahru. Selepas tamat persekolahan, beliau menyertai Askar Timbalan Setia Johor sebagai kadet pada tahun 1940 dan pada tahun seterusnya, beliau dihantar ke Akademi Tentera India di Dehra Dun, India. Setelah tamat latihannya, dia diserap ke dalam Tentera India, dan berkhidmat di Timur Tengah apabila Perang Dunia Kedua meletus. Selepas peperangan tamat, pengalamannya yang luas mendorong British mengambilnya sebagai tenaga pengajar di Pusat Rekrut dan Latihan Polis Malaya di Rawalpindi.

Tun Hussein pulang ke tanahairnya Malaysia pada tahun 1945 dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru. Beliau kemudiannya bersara daripada perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat kapten, satu pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang bumiputera semasa penjajahan British. Beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaya sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Segamat, Johor. Beliau kemudiannya ditempatkan di Selangor, sebagai pegawai daerah Klang dan Kuala Selangor.

Tun Hussein, yang berasal dari keluarga yang berlatarbelakangkan politik, meletakkan jawatannya dalam perkhidmatan awam untuk menceburi bidang politik. Pada tahun 1949, beliau menjadi Ketua Pemuda pertama UMNO. Bapa beliau, Dato Onn Jaafar berperanan besar dalam penubuhan UMNO pada tahun 1946. Pada tahun 1950, beliau telah dipilih sebagai Setiausaha Agung UMNO. Tun Hussein bagaimanapun meninggalkan UMNO pada 1951 untuk menyertai parti baru yang ditubuhkan oleh bapanya, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Setelah IMP kehilangan momentum, Tun Hussein melanjutkan pelajarannya di Lincoln’s Inn, London, di dalam jurusan undang-undang. Beliau berjaya menamatkan pelajarannya dan mempunyai kelayakan sebagai Barrister at Law. Beliau pulang sebagai peguam bertauliah dan membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur.

Tun Hussein kembali berpolitik pada 1968 selepas diyakinkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak untuk menyertai semula UMNO. Beliau bertanding dan memenangi dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1969. Kemenangan itu menyaksikan beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Momentum kerjaya politik Tun Hussein semakin meningkat apabila pada beliau menggantikan Allahyarham Tun Dr Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973. Beberapa tahun selepas itu pada 15 Januari 1976, beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga selepas Tun Abdul Razak meninggal dunia.

Tun Hussein dikenali dengan usaha-usahanya untuk menekankan isu perpaduan melalui dasar-dasar yang bertujuan untuk menghapuskan ketidakseimbangan ekonomi antara masyarakat. Sebagai contoh, Skim Amanah Saham Nasional telah dilancarkan pada 20 April 1981. Beliau turut menekankan kepentingan Rukun Tetangga yang berperanan untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian masyarakat Malaysia, selain melancarkan PEMADAM pada tahun 1976; sebuah organisasi kebangsaan yang khas untuk memerangi penyalahgunaan dadah.

Tun Hussein Onn menjalani pembedahan pintasan koronari pada awal tahun 1981. Pada 17 Julai tahun yang sama, beliau meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri atas faktor Kesihatan, sekaligus bersara daripada bidang politik. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 29 Mei 1990 di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat. Tun Hussein Onn disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

  • 1922: Dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada 12 Februari.
  • 1940: Menyertai Angkatan Tentera Johor sebagai Kadet.
  • 1941: Dihantar untuk mengikuti latihan ketenteraan di Akademi Ketenteraan India, Dehradun, India. Beliau sedang berkhidmat dalam Tentera India apabila dihantar ke Timur Tengah semasa Perang Dunia ke-2.
  • 1946: Pulang ke Tanah Melayu dan berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Segamat, Johor.
  • 1949: Tun Hussein dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO.
  • 1950: Tun Hussein dilantik sebagai Setiausaha Tertinggi UMNO
  • 1951: Keluar daripada UMNO untuk menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), parti yang ditubuhkan oleh ayahanda Dato Onn Jaafar.
  • 1951: Tun Hussein meninggalkan arena politik untuk menyambungkan pelajaran di Lincoln’s Inn, London.
  • 1958: Mendapat kelulusan sebagai Barrister at Law daripada Lincoln’s Inn. Pada tahun 1962, beliau ditauliahkan sebagai peguambela dan peguamcara.
  • 1968: Kembali menganggotai UMNO atas undangan Tun Abdul Razak.
  • 1969: Menang dalam Pilihan Raya Umum. Dipilih sebagai Menteri Pelajaran Malaysia.
  • 1973: Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos selepas Tun Dr. Ismail Abdul Rahman meninggal dunia.
  • 1976: Menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-3 pada 15 Januari berikutan kematian mengejut Tun Abdul Razak.
  • 1978: Menubuhkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk meningkatkan pemegang saham Bumiputera.
  • 1981: Melancarkan Amanah Saham Nasional pada 20 April.
  • 1981: Meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia atas faktor kesihatan.
  • 1990: Tun Hussein Onn kembali ke Rahmatullah pada 29 Mei akibat serangan jantung, di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat.
  • PERPADUAN KAUM
    Sebagai Perdana Menteri, Tun Hussein Onn sentiasa mengutamakan isu perpaduan negara di barisan hadapan dalam tindakan politik, ekonomi dan pentadbiran kerajaan. Majlis Perpaduan Negara telah ditubuhkan pada tahun 1974 untuk memupuk rasa cintakan negara dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, berdasarkan prinsip Rukun Negara, dan untuk meningkatkan hubungan antara orang awam dan kerajaan. Tun Hussein juga mengangkat martabat Bahasa Malaysia dengan menjadikannya sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara, dan meletakkan lulus dalam mata pelajaran itu sebagai syarat wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (MCE).
  • PEMADAM
    Pada tahun 1976, Tun Hussein melancarkan PEMADAM, sebuah pertubuhan kebangsaan khas untuk memerangi penyalahgunaan dadah. Beliau yakin bahawa ianya adalah salah satu halangan terbesar kepada pembangunan negara.

  • EKONOMI
    Pada 20 April 1981, Tun Hussein Onn melancarkan Skim Amanah Saham Nasional (ASNB) untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara.

  • AMAN & HARMONI
    Menekankan kepentingan Rukun Tetangga dan peranannya dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat.
  1. “Kita hendaklah terus berjuang dengan nada dan semangat yang sama, bagi meningkatkan lagi kemajuan dan kejayaan bangsa dan negara, supaya Malaysia yang telah kita bina, dapat terus wujud kekal dan terkenal, dan rakyat serta penduduk-penduduknya, dapat terus hidup dengan aman, mamur dan bahagia.” – May 1977

  2. “Kita mestilah ingat bahawa Sejarah adalah satu bidang ilmu yang penting dalam soal pembentukan dan pembangunan satu bangsa Malaysia lebih-lebih lagi bagi negara kita yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan keturunan. Menerusi sejarah, kita akan dapat memperkenalkan keperibadian Malaysia.”
    Universiti Kebangsaan Malaysia, 10 April 1978

  3. “It is rightly said that to be a good general, one must first be a good soldier. A bad soldier can never be a good general. One must learn to obey before one can give commands. I have not made my grade and become a general. The most that I have been able to achieve is to be a Prime Minister.”
    – Agra, India. 24th January 1979

  4. “Pelajaran adalah asas utama bagi mencapai kemajuan hidup. Dalam zaman sains dan teknologi ini, pelajaran amatlah penting. Golongan muda yang terpelajar mempunyai peranannya sendiri. Mereka adalah teras kepada pembentukan satu kelas menengah yang kukuh dan sihat, satu kelas yang dianggotai golongan cerdik pandai. Golongan ini amatlah diperlukan kerana mereka adalah takungan (reservoir) untuk mendapatkan idea-idea baharu untuk membentuk negara.”
    – Kluang, Johor. 13 Januari 1979