Website
Website
Tun Hussein Onn's Speech During the Launch of Sekim Amanah Saham Nasional

Tun Hussein Onn's Speech During the Launch of Sekim Amanah Saham Nasional

UCAPAN YAB PERDANA MENTERI KETIKA MELANCARKAN SEKIM AMANAH SAHAM NASIONAL DI DEWAN TUNKU ABDUL RAHMAN, KUALA LUMPUR PADA 20HB APRIL 1981

YAB Dato' Seri (Dr.) Mahathir Mohamad, Yang Amat Berbahagia Tun Ismail Ali', YB Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri, YAB Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri, Dif-dif Kehormat, Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Pada 9hb. Januari yang lalu, saya telah mengumumkan rancangan bagi memindah-milik saham sektor syarikat yang dipegang oleh Kerajaan kepada Bumiputera. Berikutan dengan pengumuman itu berbagai persediaan telah dibuat bagi membolehkan Sekim Amanah Saham Nasional dilancarkan dalam bulan April. Pelaksanaan Sekim Amanah Saham Nasional pada hari ini, membawa kita setapak lagi ke hadapan, dalam usaha-usaha untuk memenuhi hasrat, dan mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru.

Majlis pada hari ini, mengingatkan kita kepada Konggeres Ekonomi Bumiputera yang pertama, dalam tahun 1965, yang berlangsung di Dewan ini. Suara bumiputera, dengan hasrat dan dengan penuh semangat untuk menebus kemundurannya, bergema sekali lagi dalam Konggeres Ekonomi Bumiputera 1968. Resolusi-resolusi kedua-dua Konggeres ini, telah meletakkan asas- asas dasar yang penting ke arah usaha-usaha untuk meningkatkan kemampuan dan kedudukan kaum bumiputera di dalam bidang ekonomi.

Selain daripada faktor-faktor sejarah, sosial, ekonomi dan politik negara, masalah ekonomi bumiputera telah diberi perhatian yang teliti oleh Kerajaan, ketika menggubal Dasar Ekonomi Baru dalam tahun 1970. Salah satu daripada matlamat Dasar Ekonomi Baru, iaitu pemilikan saham sektor syarikat oleh bumiputera, sekurang-kurangnya 30 peratus, menjelang tahun 1990, adalah dengan tujuan untuk mengimbangkan kedudukan sosio-ekonomi bumiputera dengan bukan bumiputera.

Tindakan-tindakan tegas telah diambil oleh Kerajaan, untuk menjamin pencapaian matlamat milikan saham ini. Berbagai-bagai agensi dari syarikat kerajaan, telah ditubuhkan. Penubuhan Yayasan Pelaburan Bumiputera dan badan-badan di bawahnya merupakan langkah-langkah utama di dalam menyediakan pelaksanaan Sekim Amanah Saham Nasional. Adalah menjadi harapan Kerajaan, bahawa Sekim ini akan menjadi alat yang terpenting, bagi menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus saham sektor syarikat, dimiliki oleh bumiputera menjelang tahun 1990.

Kerajaan, dengan teliti dan bersungguh-sungguh, telah menyediakan Sekim Amanah Saham Nasional ini bagi menunaikan janjinya ketika melancarkan Dasar Ekonomi Baru. Sekarang tibalah masanya bagi bumiputera membuktikan kesungguhan mereka, terhadap apa yang diminta dan dihajatinya.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

Sekim Amanah Saham Nasional ini, hendaklah dilihat dalam konteks Dasar Ekonomi Baru. Dasar Ekonomi Baru telah dirumus· dengan teliti sebagai satu langkah, untuk mengatasi masalah-masalah sosio-ekonomi dan politik masyarakat berbilang kaum di negara kita. Ia adalah dasar yang pragmatis, dan telah diterima oleh semua pihak untuk menjamin masa depan negara.

Ketika menggubal Dasar Ekonomi Baru, kita yakin, dengan suatu suasana dan masyarakat akan datang, yang akan wujud dengan pelaksanaanya. Ia adalah masa depan yang lebih baik yang menjamin semua pihak. Dengan langkah-Iangkah yang kita ambil, serta sokongan dan penglibatan semua pihak, asas perpaduan yang lebih kukuh di kalangan masyarakat majmuk di negara kita, akan wujud. Kedudukan ekonomi kaum bumiputera akan menjadi lebih baik, hampir setanding dengan kedudukan bukan-bumiputera. Dengan perkembangan ekonomi yang pesat, bukan-bumiputera akan menikmati peluang-peluang pelaburan dan pembangunan yang terbuka dengan luasnya. Kedudukan sosio-ekonomi semua kaum dan mutu kehidupan rakyat keseluruhannya, akan meningkat kepada satu tahap yang lebih baik, melalui berbagai-bagai program pembasmian kemiskinan dan kemudahan-kemudahan sosial dan infrastruktur. Ini adalah satu keadaan di mana tiap-tiap kaum mempunyai bahagian dan pertaruhan yang penting, di dalam ekonomi dan politik negara.

Masyarakat yang wujud ketika itu, ialah satu masyarakat yang lebih adil, dengan teras-teras perpaduan dan ketahanan yang kukuh, untuk membawa negara kit a kepada satu zaman baru yang lebih cemerlang lagi. Ini akan kita tinggalkan sebagai warisan kepada anak-anak kita yang mewakili generasi yang akan datang. Kita tidak boleh gagal dalam tugas yang berat dan penting ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

Adalah penting bahawa pandangan dan gambaran mengenai suasana dan masyarakat masa depan, yang akan wujud ini, menjadi panduan kepada segala tindakan kita. Ia harus meningkatkan lagi keyakinan dan kepercayaan kita, terhadap langkah-langkah yang kita ambil. Dengan keyakin an ini, kita dapat memelihara diri kita daripada dipengaruhi oleh dakyah-dakyah pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang bertujuan untuk melumpuh dan menghalang kejayaan Sekim ini. Apa-apa usaha untuk menghalang kejayaan Sekim ini, hanyalah merupakan tindakan untuk menyekat kemajuan bumiputera dan menggugat Dasar Ekonomi Baru.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

Sekim Amanah Saham Nasional ini telah dirancang dengan telitinya. Semua aspek-aspek penting telah diambil kira. Dari segi ekonomi, ia adalah tindakan konkrit yang selaras dengan matlamat untuk mengimbangkan kedudukan ekonomi antara kaum. Dari segi sosial, ia adalah satu alat untuk menyusun semula masyarakat dan meningkatkan mutu kehidupan rakyat. Dari segi politik, ia adalah bertujuan untuk mewujudkan kestabilan, dan meletakkan asas-asas keadilan dan perpaduan yang kukuh. Dari segi ugama, perhatian telah diberi supaya ianya tidak bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Kita akan menentukan kejayaan pelaksanaannya.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

Sekim ini adalah berteraskan kepentingan negara dan untuk pencapaian matlamat negara. Tidak sesiapa pun yang harus merasa ragu dengan tujuan baik Sekim ini, lebih-lebih lagi bumiputera sendiri.

Dengan penuh ikhlas dan rasa tanggungjawab, saya menyeru rakyat bumiputera untuk menyertai Sekim ini, dengan tujuan memperbaiki kedudukan ekonomi mereka keseluruhannya. Hasrat bumiputera ialah untuk menebus kelemahan kedudukan ekonomi mereka. Inilah peluang untuk menebus kelemahan itu. Insya Allah, kita akan berjaya.

______________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Akaun ASNB anda kini boleh diakses secara atas talian melalui Portal myASNB. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web ASNB di www.asnb.com.my  

 

Sign up to receive our emails and be alerted of our programmes.

 

 

© 2015 Perdana Leadership Foundation. All rights reserved.