Website
Website
Perasmian Masjid Kampung Seri Bengkal, Batu Pahat

Perasmian Masjid Kampung Seri Bengkal, Batu Pahat

UCAPAN PERDANA MENTERI DATO HUSSEIN ONN
DI UPACARA PERASMIAN MASJID KAMPUNG SERI BENGKAL,
MUKIM 6 BATU PAHAT.

12 JANUARI 1979

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Yang Berhormat Dato' Abdul Rahman b Mahmood, Yang Berhormat Dato Haji Ngah b. Abdul Rahman, Yang Berhormat Encik Mohd Shariff Lasim, Yang Berusaha Pegawai Daerah Batu Pahat, Yang Berbahagia Dato Yusak, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Bismilla-hirrahma-nirrahim.

Saya bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat dana izinNya dapat saya melakukan lawatan ke Kampung Seri Bengkal dan seterusnya merasmikan masjid di Kampung ini. Saya mengucapkan terima kasih setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Seri Bengkal serta penduduk-penduduk di kawasan ini di atas penghormatan yang telah diberikan kepada saya di upacara ini.

Dalam perjalanan tadi saya telah diberi penghormatan merasmikan masjid Kampung Yop Darat. Saya mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Masjid serta penduduk Kampung Yop Darat kerana telah bersusah-payah membuat persediaan untuk majlis perasmian itu. Saya memanglah ingin membuat lawatan ke kampung-kampung terutama di kawasan saya sendiri untuk beramah mesra dengan penduduk-penduduk di samping mengetahui masalah dan kesulitan tempatan.

Tetapi sebagaimana yang pernah saya terangkan dahulu bahawa tugas dan tanggungjawab negara saya tidak dapat membuat lawatan seperti ini seberapa kerap yang saya kehendaki. Syukurlah pada hari ini saya telah menghadiri tiga buah masjid di daerah Batu Pahat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Masjid Kampung Seri Bengkal yang baru ini yang akan dirasmikan sebentar lagi merupakan masjid yang ke-26, yang dibina oleh Kerajaan dalam daerah Batu Pahat dalam masa lima tahun yang lalu. Tiap-tiap tahun Kerajaan Persekutuan akan mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi membina masjid-masjid baru dan membantu baiki atau membesarkan bangunan-bangunan masjid yang lama untuk kegunaan umat Islam di tanahair.

Melalui Pusat Islam Kerajaan Persekutuan telahpun menjalankan beberapa kursus latihan bagi Imam, Bilal, dan Khatib. Ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan hendak meningkatkan mutu serta memesatkan lagi kegiatan yang harus dijalankan di masjid-masjid.

Bangunan masjid bukanlah dihadkan kegunaannya untuk ibadah sembahyang sahaja tetapi harus dibuka pada setiap masa kepada penduduk-penduduk yang hendak bermuzarakah sesama sendiri bermesyuarah bagi membincangkan kemajuan pembangunan kampung. Kelas-kelas ugama bagi semua lapisan masyarakat Islam dan kelas-kelas Muqaddam atau Quran patut diselenggarakan oleh masjid bagi faedah kanak-kanak dan orang dewasa. Dengan jalan ini, maka bangunan masjid yang dibina dengan harga berpuluh ribu ringgit itu dapatlah digunakan sepenuhnya untuk kepentingan masyarakat Islam.

Saya harap masjid yang baru ini akan dapat meningkatkan lagi kegiatan keugamaan dan pembangunan di kampung ini di samping dapat mengeratkan lagi kerjasama dan perpaduan penduduk-penduduk di kawasan ini.

_________________________________________________________________________

Untuk membaca transkrip penuh teks ucapan ini, sila klik di sini.

Sign up to receive our emails and be alerted of our programmes.

 

 

© 2015 Perdana Leadership Foundation. All rights reserved.