Website
Website
  • slide1
  • slide2
  • slide3
  • slide4

BIOGRAPHY OF TUN HUSSEIN ONN

Tun Hussein Onn: Bapa Perpaduan Malaysia

FIRST LADIES OF MALAYSIA

Biografi Ringkas
Allahyarham
Y.A.Bhg. Tun Hussein Bin Onn (1922-1990)

Tun Hussein Onn: Bapa Perpaduan Malaysia

PENGENALAN

Allahyarham Tun Hussein bin Dato’ Onn (12 Februari 1922- 29 Mei 1990) merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976-1981. Beliau diperlihatkan sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan seorang yang tegas kepada sesiapa yang cuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam Negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang dengan gelaran sebagai “Bapa Perpaduan”.

Masa Muda

Dilahirkan di Johor Bahru, Hussein Onn adalah anakanda kepada Dato’ Onn Jaafar yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946. Bondanya Datin Halimah Hussein.

Tun Hussein Onn menerima pendidikan awalnya di Singapura dan di English College (kini digelar “Maktab Sultan Abu Bakar”), Johor Bahru. Selepas persekolahannya, Tun Hussein Onn menyertai Pasukan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940. Setahun kemudian, beliau dihantar ke Maktab Tentera Sandhurst di Dehradun, India. Selepas ditauliahkan, beliau menyertai Regimen Hydrabad (Tentera India) dan berkhidmat di Timur Tengah sewaktu peperangan. Selepas peperangan, kerajaan Bristish melantik Tun Hussein Onn sebagai pengajar di “Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya” di Rawalpindi.

Pada tahun 1945, Tun Hussein Onn telah pulang ke tanahair  dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru. Pada tahun berikut, beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaya sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor. Tun Hussein Onn kemudian ditugaskan untuk bekerja di negeri Selangor, di mana beliau menjadi pegawai daerah untuk Klang dan Kuala Selangor.

Tun Hussein Onn berkahwin dengan Tun Suhailah Tan Sri Mohamed Noah Omar yang juga berasal dari sebuah keluarga politik yang terkenal. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu Roguiaya Hanim, Suraiya Hani, Rozia hanis, Hishamuddin, Rozita Halina dan Haris Onn. Tun Hussein adalah seorang bapa yang tegas dalam mendidik anak-anaknya.

Kerjaya Politik

Tun Hussein Onn yang berasal daripada sebuah keluarga yang mempunyai semangat nasionalisme dan akar politik yang mendalam, kemudian meletakkan jawatan perkhidmatan awam untuk menyertai politik. Pada tahun 1949, beliau menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama dan kemudian, pada tahun 1950, beliau dipilih menjadi Setiausaha Agung. Bagaimanapun, Tun Hussein Onn meninggalkan UMNO pada tahun 1951 untuk menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang ditubuhkan oleh ayahandanya.

Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, Tun Hussein Onn pergi ke London untuk belajar undang-undang di Lincoln’s Inn dan berjaya melayakkan diri sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958. Beliau pulang ke Malaya sebagai seorang peguam bertauliah dan bekerja di Kuala Lumpur.

Kebangkitan untuk berkuasa

Tun Hussein Onn kembali ke politik dan menyertai UMNO pada tahun 1968 selepas dipujuk Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika itu. Beliau bertanding dan menang dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran.

Beliau telah menggantikan Tun Dr Ismail yang telah meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada 15 Januari 1976, Hussein Onn dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga selepas kematian Tun Abdul Razak.

Tun Hussein Onn sangat terkenal dalam ketegasan beliau terhadap persoalan perpaduan melalui dasar-dasar yang bertujuan semata-mata untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau meneruskan agenda pembangunan Allahyarham Tun Abdul Razak; usahanya dalam memajukan Malaysia tidak pernah lari dari sasaran Dasar Ekonomi Baru. Tun Hussein Onn sentiasa mencuba meningkatkan taraf hidup kaum Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain pada waktu itu. Oleh itu, pada 20 April 1981, beliau melancarkan Skim Amanah Saham Nasional yang merupakan satu dana amanah bumiputera yang bertujuan meningkatkan ekuiti bumiputera dalam ekonomi Negara.

Tun Hussein Onn juga memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan perjuangan terhadap ancaman dadah. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia juga diperbesar dan dipermodenkan kerana penewasan Vietnam Selatan oleh pihak komunis yang menggemparkan seluruh rantau Asia Tenggara.

Tun Hussein Onn menjalani pintasan koronari pada awal tahun 1981. Pada 17 Julai dalam tahun itu, beliau bersara daripada politik dan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas sebab-sebab kesihatan. Jawatan Perdana Menteri diambil alih oleh timbalannya, Dr. Mahathir bin Mohamad. Disebabkan perkhidmatannya kepada Negara, Tun Hussein Onn dikurniakan dengan gelaran “Tun”, yang merupakan anugerah diraja yang tertinggi di Malaysia.

Selepas persaraannya sebagai Perdana Menteri, Tun Hussein Onn meneruskan sumbangannya kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Belaiu bermain peranan yang utama dalam pertubuhan Hospital Mata Tun Hussein Onn. Beliau turut menjadi Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan penasihat kepada Petronas.


Saat-Saat Akhir

Tun Hussein menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan penyakit jantung, dan disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

AL- FATIHAH


Kronologi Perkhidmatan Tun Hussein Onn dalam Kerajaan

1922    Dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada 12 Februari
1941    Dihantar untuk mengikuti latihan ketenteraan di Akademi Ketenteraan India, Dehra Dun, India
1942    Berkhidmat dengan tentera India dan bertugas di Mesir, Syria, Palestin, Iran, Iraq dan India.
1945    Meninggalkan Madras, India untuk kembali ke Malaya
1946    Menyertai Perkhidmatan Pentadbiran Melayu dan ditugaskan di Pejabat Daerah Kuala Selangor.
1949    Dipilih sebagai ketua Pemuda UMNO
1950    Dilantik sebagai Setiausaha Tertinggi UMNO
1951    Keluar daripada UMNO
           Meletak  jawantan dalam kerajaan untuk menceburi bidang politik
           Menyertai Parti Kemerdekaan Tanah Melayu (IMP)
1958    Melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln’s Inn, London.
1968    Kembali Menganggotai UMNO
1969    Dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja UMNO, sesi 1969/1970 menggantikan tempat Dr. Mahathir Mohamad yang dipecat.
1970    Dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam Kabinet pertama Tun Razak.
1972    Dipilih sebagai Naib Timbalan Presiden UMNO
1973    Pemangku Timbalan Presiden UMNO selepas Tun Dr. Ismail Abdul Rahman meninggal dunia dan kemudian dilantik sebagai Timbalan    Perdana Menteri.
1974    Dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO
1976    Dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga berikutan kematian mengejut Tun Abdul Razak.
1978    Dipilih sebagai presiden UMNO bagi penggal 1978/1981 selepas menewaskan Sulaiman Palestin.
1981    Meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia atas sebab-sebab kesihatan.
1990    Tun Hussein Onn kembali ke rahmatullah.

Sign up to receive our emails and be alerted of our programmes.

 

 

© 2015 Perdana Leadership Foundation. All rights reserved.