Website
Website
  • slide1
  • slide2
  • slide3
  • slide4

BIOGRAPHY OF TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI

Tun Abdullah Ahmad Badawi (31 Oktober 2003 - 3 April 2009) yang juga dikenali sebagai “Pak Lah” merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kelima yang telah mengambil alih pucuk pimpinan negara dari Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dengan reputasinya sebagai seorang yang bertanggungjawab, sabar, tabah, bertoleransi, sukakan perpaduan, mesra, kuat bekerja dan yang paling utama kuat beragama yang menjadikan beliau seorang pemimpin yang paling diharapkan bagi memacu Malaysia ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan. Fokus pentadbiran beliau berbeza dengan empat perdana menteri sebelumnya kerana beliau lebih menekankan pengurusan negara berkonsepkan ”Islam Hadhari” selain Pembangunan Modal Insan. Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dikenang dengan gelaran sebagai ‘”Bapa Pembangunan Modal Insan”.

FIRST LADIES OF MALAYSIA

Biografi Ringkas
Y.A.Bhg. Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi  (1939-)


Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi: Bapa Pembangunan Modal Insan

PENGENALAN

Tun Abdullah Ahmad Badawi (31 Oktober 2003 - 3 April 2009) yang juga dikenali sebagai “Pak Lah” merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kelima yang telah mengambil alih pucuk pimpinan negara dari Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dengan reputasinya sebagai seorang yang bertanggungjawab, sabar, tabah, bertoleransi, sukakan perpaduan, mesra, kuat bekerja dan yang paling utama kuat beragama yang menjadikan beliau seorang pemimpin yang paling diharapkan bagi memacu Malaysia ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan. Fokus pentadbiran beliau berbeza dengan empat perdana menteri sebelumnya kerana beliau lebih menekankan pengurusan negara berkonsepkan ”Islam Hadhari” selain Pembangunan Modal Insan. Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dikenang dengan gelaran sebagai ‘”Bapa Pembangunan Modal Insan”.


Peribadi dan Pendidikan

Tun Abdullah Ahmad Badawi berasal dari keturunan keluarga yang mempunyai latar belakang keagamaan yang kuat dan keintelektualan yang tinggi. Beliau dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Bapanya Hj. Ahmad Badawi juga merupakan seorang ulama dan ahli politik yang pernah menjadi ahli Parlimen bagi kawasan Kepala Batas.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam, Kepala Batas. Manakala pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Daeratul Maarifil Al-Wataniah, Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan Sekolah Lelaki Methodist Pulau Pinang. Selepas menamatkan persekolahan, beliau pernah berkhidmat sebagai seorang guru. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya selama tiga tahun (1962-1964) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Pengajian Islam.

Tun Abdullah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Pengaman Persekutuan, di Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri dari tahun 1964 sehingga 1969. Pada tahun 1969, beliau telah menjadi Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan di bawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang telah ditubuhkan selepas peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Pada tahun 1971, Tun Abdullah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Belia di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sehingga 1973, sebelum menjadi Timbalan Ketua Pengarah dalam Kementerian yang sama pada tahun 1974.

Tun Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Datin Seri Endon binti Dato’ Mahmood pada tahun 1965 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Kamaluddin dan Nori dan empat orang cucu. Pada 20 Oktober 2005, Datin Seri Endon Mahmood telah meninggal dunia kerana menghidap penyakit barah payudara sejak tahun 2003. Pada 9 Jun 2007, Tun Abdullah telah berkahwin dengan Datin Seri Jeanne Abdullah.


Perjuangan Politik

Tun Abdullah mula menyertai UMNO pada tahun 1965. Beliau mula bergiat aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas. Pada tahun 1978, beliau telah meletak jawatan dalam perkhidmatan kerajaan untuk menjadi ahli politik sepenuh masa. Pada tahun yang sama, beliau telah bertanding pada Pilihan Raya Umum 1978 sebagai calon Barisan Nasional dan memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas di Seberang Perai Utara. Tun Abdullah telah dipilih untuk memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987, 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Tun Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi tahun 2000-2003. Beliau memegang jawatan sebagai Presiden UMNO sejak tahun 2003 sehingga 2008.


Bapa Pembangunan Modal Insan

Jasa dan sumbangan Tun Abdullah begitu besar dalam usaha pembagunan modal insan negara. Keperihatinan beliau terhadap kepentingan kualiti modal insan negara dapat digambarkan melalui pengenalan slogan “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”. Slogan ini memberi makna yang cukup mendalam kepada semua pihak yang dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan usaha untuk membina modal insan negara. Kualiti cemerlang, gemilang dan terbilang merupakan satu tahap pencapaian unggul yang perlu dijadikan matlamat dan hala tuju pembangunan modal insan negara secara individu dan kolektif.

Program pembangunan modal insan telah diperkenalkan oleh Tun Abdullah  pada tahun 2005. Modal insan bermaksud sesuatu yang digunakan sebagai asas untuk pengembangan dan kelebihan yang dimiliki. Manusia boleh memperolehi sesuatu yang dihajati melalui ilmu pengetahuan dan pendidikan. Pembangunan modal insan adalah antara teras utama dalam melahirkan dan memperkembangkan ekonomi berlandaskan teknologi dan pengetahuan. Dalam hal ini, beliau menekankan kepentingan mengimbangkan antara pembangunan fizikal, mental dan spiritual. Keperihatinan beliau dalam usaha membangunkan modal insan ini juga tergambar dengan jelas melalui Misi Nasional Negara yang dijadikan sebagai panduan hala tuju utama negara.


Konsep Pengurusan Islam Hadhari

Setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah mempunyai pendekatan tersendiri dalam menguruskan negara dengan memperkenalkan konsep “Islam Hadhari” sebagai cetusan kebangkitan dalam memperkasakan perjuangan bangsa. Konsep ini memberi lebih penekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban iaitu peradaban yang dibina melalui pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha untuk mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal.

Beliau merealisasikan 10 prinsip utama Islam Hadhari iaitu meliputi ketaqwaan kepada Ilahi, kerajaan adil dan beramanah, rakyat berjiwa merdeka, penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif, kehidupan berkualiti, pembelaan hak kumpulan minority dan wanita, keutuhan budaya dan moral, pemeliharaan alam semula jadi dan kekuatan pertahanan.

Prinsip-prinsip ini adalah mengikut acuan yang telah diadun supaya amalan serta pendekatannya tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-mana pihak dalam sesebuah negara yang memiliki komposisi rakyatnya yang berbilang agama dan kaum. Pendekatan yang digariskan juga adalah bertujuan untuk memperkasakan umat Islam supaya lebih bersedia dan berupaya untuk menghadapi cabaran dunia semasa. Pada 2 April 2009, Tun Abdullah telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-lima, dan telah melantik timbalannya iaitu YBhg. Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Hj. Abdul Razak sebagai penggantinya.

Tun Abdullah Ahmad Badawi telah berkahwin sebanyak dua kali. Perkahwinan pertamanya adalah bersama Tun Endon Mahmood. Mereka telah dikurniakan dua orang anak; Kamaluddin Abdullah, dan Nori Abdullah Badawi. Tun Endon Mahmood telah kembali ke rahmatullah pada 20 Oktober 2005 setelah bertahun-tahun berjuang dengan kanser payudara.

Tun Abdullah kemudian berkahwin dengan Tun Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007. Mereka tidak dikurniakan anak bersama namun ia tidak menghalang mereka untuk kekal bahagia sehingga kini. 

Kronologi Kehidupan Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi

1939    Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 26 November

1964    Memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Malaya dan menjadi Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awan (Sehingga 1969)

1965    Berkahwin dengan Datin Seri Endon Mahmood

1969    Dilantik menjadi Ketua Penolong Setiausaha, Majlis Gerakan Negara     (MAGERAN)

1971    Dilantik sebagai Ketua Pengarah, Kementerian Kebudayaan, Belia  dan Sukan (sehingga 1973)

1974    Dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan

1978    Menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas dan juga Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (sehingga 1980)

1979    Menjadi Ketua UMNO Cawangan Bertam serta Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas

1980    Dilantik sebagai Timbalan Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan (sehingga 1981)

1981    Menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO dan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (sehingga 1984)

1984    Dilantik sebagai Menteri Pendidikan sehingga 1986 dan menjadi Naib Presiden UMNO sehingga 1990

1986    Dilantik sebagai Menteri Pertahanan (sehingga 1987)

1990    Dilantik sebagai Ketua Delegasi UMNO ke Jawatankuasa Perundingan Ekonomi Negara dan Pengerusi Jawatankuasa Penyusunan Semula Masyarakat

1991    Dilantik sebagai Menteri Luar Negeri (sehingga 1999)

1993    Menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO (sehingga 1996)

1996    Menjadi Naib Presiden UMNO

1998    Menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang

1999    Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada Januari sehingga Oktober 2003 dan menjadi Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN)

2000    Menjadi Timbalan Presiden UMNO pada Mei

2003    Dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima pada 31 Oktober 2003

2004    Menjadi Presiden UMNO pada bulan September

2005    Kematian  isteri, Datin Seri Endon Mahmood akibat penyakit barah payudara

2007    Berkahwin dengan Datin Seri Jeanne Abdullah pada 9 Jun

2009    Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 2 April

Biografi lebih lengkap yang disampaikan melalui kronologi interaktif boleh didapati di sini: http://www.perdana.org.my/pms-of-malaysia/visual-timeline

Anda juga boleh memuat-turun biografi infografik mantan Perdana Menteri Malaysia di sini: http://www.perdana.org.my/pms-of-malaysia/biography-infographics


Sumber:

•    http://ms.wikipedia.org/wiki/Abdullah_bin_Ahmad_Badawi
•    http://www.perdana.org.my
•    http://biodata-tokoh.blogspot.com
•    Kenali Tun Abdullah Ahmad Badawi / Maruwiah Ahmad. 2010. Selangor : Eagle Publications.
•    Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi : bapa pembangunan modal insan negara / Syed Muhamad Dawilah Al-Edrus, Hussain Othman & Ahmad Esa. 2010. Johor

Sign up to receive our emails and be alerted of our programmes.

 

 

© 2015 Perdana Leadership Foundation. All rights reserved.