Website
Website
  • slide1
  • slide2
  • slide3
  • slide4

Biografi Tun Abdul Razak

Tun Abdul Razak: Arkitek Pembangunan Malaysia

Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia ke-2, merupakan anak lelaki kepada Dato’ Hussein Mohd Taib dan Teh Fatimah binti Daud. Beliau berkelulusan undang-undang dari United Kingdom dan berkecimpung dalam bidang politik setelah pulang ke tanah air pada tahun 1950. Beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1951, dan telah menyertai rundingan untuk mencapai kemerdekaan daripada pihak British. Tun Abdul Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran setelah kemerdekaan dicapai pada tahun 1957. Dasar Ekonomi Baru merupakan buah fikiran Tun Abdul Razak, bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia untuk mengatasi ketidakseimbangan ekonomi. Selain itu, beliau juga telah memperkenalkan Buku Hijau dan Buku Merah, untuk merancang serta memantau pembangunan luar bandar dan sektor pertanian. Setimpal dengan segala jasa dan sumbangannya terhadap pembangunan luar bandar dan di peringkat nasional, Tun Abdul Razak telah diberi gelaran "Bapa Pembangunan Malaysia."

FIRST LADIES OF MALAYSIA

Biografi Ringkas
Allahyarham Y.A.Bhg. Tun Abdul Razak bin Dato’Hussein

(1970-1976)

Pengenalan

Abdul Razak bin Hussein merupakan anak lelaki Dato’ Hussein Mohd Taib, Orang Kaya Indera Shah Bandar Pahang, daripada isteri pertamanya, Teh Fatimah binti Daud.

Kehidupan Peribadi
Beliau dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang dan dibesarkan oleh datuknya yang menekankan nilai tradisi dan agama. Sungguhpun beliau berasal daripada golongan yang berada, beliau bersikap rendah diri dan bersopan santun sejak dari zaman persekolahannya. Beliau memilih untuk tidak berkasut ke sekolah kerana tidak mahu terasing daripada sebahagian rakannya yang tidak mampu membeli kasut getah.

Dari bangku sekolah lagi, Tun Razak menyedari betapa mundur dan miskin keadaan kaum Melayu, terutamanya di luar bandar di bawah pemerintahan kolonial British. Beliau juga merasai keperitan hidup di zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua. Pemerhatian beliau serta peristiwa pahit yang beliau alami mungkin menjadi pendorong besar kepada beliau untuk mengubah nasib rakyat.

Beliau dipilih oleh Residen negeri Pahang untuk bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (Malay College Kuala Kangsar atau MCKK) di mana kebolehannya sebagai pemimpin diasah. Di MCKK juga, beliau belajar untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris. Pada tahun 1940, beliau melanjutkan pelajaran di Raffles College, Singapura, di mana Tun Razak merupakan salah seorang daripada hanya 15 pelajar Melayu. Zaman persekolahan Tun Razak tergendala apabila tentera Jepun mendarat di Tanah Melayu.

Setelah Perang Dunia Kedua berakhir, Tun Razak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di London dalam bidang undang-undang. Beliau lulus dengan cemerlang sebagai seorang peguam pada tahun 1950. Di London, Tun Razak menyertai Kesatuan Melayu Great Britain dan melalui persatuan ini, beliau berjumpa dan mula rapat dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Persahabatan ini diteruskan di tanahair apabila Tun Razak mengundang Tunku untuk menandingi jawatan Presiden UMNO setelah Onn Jaafar meletak jawatan.

Tun Abdul Razak telah berjuang melalui UMNO untuk menentang Malayan Union dan kemudiannya untuk mendapatkan kemerdekaan daripada British. Pada tahun 1952, kerjasama politik Melayu-Cina telah ditubuhkan di antara UMNO dan MCA (Malayan Chinese Association) yang telah membawa kejayaan besar pada pilihanraya perbandaran Kuala Lumpur. Pada tahun 1955, di pilihanraya umum pertama Tanah Melayu, parti perikatan ini - yang telah disertai oleh parti kaum India, iaitu MIC (Malayan Indian Congress) telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, membuktikan kepercayaan rakyat kepada mereka. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan Tun Abdul Razak dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Setelah kemerdekaan dicapai pada tahun 1957, Tunku melantik Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaya.

Pada tahun 1970, Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein Al-Haj menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kedua menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Ha yang meletak jawatan. Pemerintahan beliau membawa kepada kemajuan Malaysia, terutamanya dari segi ekonomi luar bandar, hubungan antarabangsa, pendidikan, dan perpaduan Rakyat.

Saat-Saat Akhir
Pada tahun 1969, Tun Razak telah didiagnoskan dengan penyakit leukemia dan akan meninggal dunia dalam masa dua tahun. Beliau meneruskan kerja sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Penyakit ini dirahsiakan daripada semua, keluarga mahupun rakyat.

“Allahyarham bapa saya ingin benar untuk hidup lebih lama. Masih banyak yang beliau perlu lakukan. Menjadi perdana menteri dan menjaga kepentingan rakyat ketika menghidap penyakit pasti sukar untuk beliau menanggungnya. Allahyarham ketika itu pasti mempunyai semangat luar biasa untuk menghadapinya," berkata anak Allahyarham, Datuk Ahmad Johari Tun Razak.

Tanggal 14 Januari 1976 bersamaan 11 Muharam Tun Abdul Razak telah meninggal dunia semasa menjalankan rawatan di hospital di London. Beliau dimakamkan di Makam Pahlawan Masjid Negara di sebelah makam sahabat karibnya, Tun Dr. Ismail bin Abdul Rahman pada 16 Januari 1976. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Legasi Tun Abdul Razak diteruskan melalui isterinya, Tun Rahah, dan anak-anak mereka; Dato' Seri Najib Razak, Datuk Ahmad Johari Razak, Mohamed Nizam, Mohamed Nazim, dan Mohamed Nazir.

AL –FATIHAH

Sumber
1) Biografi Tun Abdul Razak: Negarawan dan Patriot, Nik Anuar Nik Mahmud
2) Tun Razak: Profile of a Patriot, Zainuddin Maidin
3) Pembangunan 1960-an: Daripada Kata-kata Tun Abdul Razak Hussein, Abdul Rahman Abdul Aziz
4) Kronologi Interaktif Yayasan Kepimpinan Perdana

Kronologi

1922 Lahir di Pekan, Pahang
1934 Dipilih oleh Residen Pahang untuk menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (Kuala Kangsar Malay College)
1939 Tun Abdul Razak dipilih sebagai “Student-Probationer” untuk berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam
1940 Tun Razak menyambungkan pelajarannya di Raffles College, Singapura
1941 PIhak Jepun menduduki Malaya, dan pelajaran Tun Razak tergendala
1943 Tun Razak menghadiri kursus Koa Kunrensho di Singapura di mana beliau mempelajari bahasa Jepun, pentadibran awam, dan latihan tentera
1951 Dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO apabila Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden
1951 Dilantik sebagai ahli tidak rasmi dalam Majlis Perundangan Persekutuan
1952 Dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang
1952 4 Sep - Berkahwin dengan Tun Hajah Rahah
1955 Dilantik sebagai Pemangku Menteri Besar Pahang
1955 Gabungan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 dari 52 kerusi yang ditandingi di Pilihanraya Umum Malaya; Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri Malaya
1955 Dilantik sebagai Menteri Pendidikan Malaysia & Menteri Besar Pahang
1956 Menyertai delegasi kemerdekaan Malaya ke United Kingdom
1957 Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan
1959 Gabungan / Pakatan politik UMNO-MCA-MIC memenangi 74 dari 95 kerusi yang ditandingi dalam Pilihanraya Umum pertama Malaya
1959 Dilantik sebagai Menteri pertama Kementerian Pembangunan Luar Bandar
1960 Melancarkan program “Buku Merah” yang mengandungi pelbagai projek pembangunan untuk setiap daerah
1961 Idea pembentukan “Malaysia” dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman
1962 Tun Razak dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Cobbold
1963 “Malaysia” dibentuk, terdiri daripada Malaya, Sabah, Sarawak, dan Singapura. Singapura kemudiannya meninggalkan Malaysia pada tahun 1965
1963 Malaysia menghadapi ancaman dari Indonesia yang melancarkan Konfrontasi
1964 Gabungan politik UMNO-MCA-MIC memenangi 89 dari 103 kerusi yang ditandingi
1966 Konfrontasi berakhir dengan kejatuhan Sukarno sebagai Presiden Indonesia
1967 Tun Razak mengambil alih portfolio Kementerian Dalam Negeri setelah Tun Dr Ismail meletak jawatan
1967 Tun Razak menerima Anugerah Magsaysay dari Kerajaan Filipina untuk sumbangan beliau kepada pembangunan luar bandar
1969 Rusuhan kaum tercetus di Kuala Lumpur
1969 Dilantik sebagai Pengarah MAGERAN (National Operations Council) untuk mengendalikan negara selepas rusuhan kaum 13 Mei
1970 Jabatan Perpaduan Kaum didirikan & Rukunegara dirumuskan sebagai falsafah nasional
1971 Menjadi Perdana Menteri Malaysia Kedua setelah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meletak jawatan
1971 Parlimen bersidang semula setelah 21 bulan pemerintahan Darurat
1971 Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan
1973 Barisan Nasional ditubuhkan untuk menggantikan Parti Perikatan
1973 Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, meninggal dunia; tempat beliau digantikan oleh Tun Hussein Onn
1974 Hubungan diplomatik dijalinkan dengan negara China; Tun Razak membuat lawatan rasmi pada akhir bulan Mei 1974
1975 Tun Razak dirawati untuk penyakit leukemia di London
1976 14 Jan - Tun Abdul Razak Dato’ Hussein meninggal dunia

SUMBANGAN

Pendidikan
Pada tahun 1955, Tun Razak dilantik sebagai Menteri Pelajaran Malaya yang pertama. Sebagai Menteri Pelajaran, Tun Abdul Razak membentuk Dasar Pelajaran Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956. Penyata ini yang diumumkan pada 16 Mei 1956 telah digubal dengan tujuan mengubah-corak pembelajaran pelajar-pelajar. Perkara-perkara terkandung di dalamnya termasuk menyelaraskan sukatan pelajaran semua aliran sekolah di negara ini serta pengiktirafan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di pusat-pusat pendidikan, termasuk penyemarakan keharmonian kaum sejak dari peringkat tadika. Sebagai Menteri Pelajaran, Tun Razak membina 3,000 buah sekolah dan membolehkan tiga juta orang dewasa buta huruf membaca dan menulis melalui kelas-kelas dewasa yang dijalankan di kampung-kampung.

Ekonomi
Pentadbirannya yang tidak sampai enam tahun telah menyaksikan pembangunan yang begitu pesat di seluruh negara. Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada pertengahan 1971 untuk membasmi kemiskinan di kalangan semua kaum dan menyusun semula aktiviti ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama. Beliau dan "generasi kedua" ahli politik Melayu melihat begitu perlunya penyelesaian perbezaan jurang ekonomi dan sosial di antara kaum, terutama sekali setelah rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Kepimpinan Tun Razak juga melihat peningkatan dalam penglibatan Bumiputra di dalam sektor ekonomi khususnya dengan penubuhan agensi-agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan PERNAS hasil dari cadangan-cadangan Kongres-Kongres Ekonomi Bumiputra.

Pembangunan Luar Bandar
Tun Razak amat menitikberatkan kemajuan luar bandar. Beliau menganggap apa yang penting dalam sistem demokrasi ialah keseimbangan sosial dan ekonomi di mana semua rakyat dapat memainkan peranan dalam, dan meraih hasil dari kemajuan negara. Sejajar itu, beliau digelar Bapa Pembangunan Malaysia.

Antara inovasinya ialah Rancangan Buku Hijau peringkat kebangsaan yang telah dilancarkan pada 20 Disember 1974. Rancangan Buku Hijau ini menumpukan perhatian kepada penggunaan tanah yang sepenuhnya, tanaman jangkapendek (selingan dan bukan selingan), perkebunan cara berkelompok, rancangan ternakan, rancangan pelihara ikan air tawar, pemasaran yang baik dan projek-projek kecil. Matlamat rancangan ini ialah menambahkan pengeluaran bahan-bahan makanan supaya cukup untuk keperluan negara, menambahkan pendapatan rakyat luar bandar sebagai usaha mengurangkan tekanan inflasi dan menggalakkan kerjasama rakyat, wakil rakyat dan pegawai kerajaan supaya lebih cergas melibatkan diri dalam usaha-usaha pembangunan.

Pada tahun 1960, Tun Abdul Razak juga memperkenalkan Buku Merah yang mengandungi pelbagai projek pembangunan untuk setiap daerah. Buku Merah ini terdapat di Bilik Gerakan Negeri dan Daerah di seluruh negara dan menjadi panduan kepada pegawai-pegawai kerajaan dalam menggerakkan pembangunan luar bandar seperti pembinaan jalan, parit, surau, klinik, kelas dewasa, perkhidmatan telefon, dan sebagainya. Melalui usaha ini juga, maka terbentuk pelbagai agensi kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan, termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Perhubungan Antarabangsa
Dasar luar Malaysia adalah kesinambungan kepada dasar dalam negeri yang bertujuan untuk menjaga dan mengekalkan keselamatan, keharmonian, kesejahteraan ekonomi dan lain-lain kepentingan negara. Di bawah Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, Malaysia mula memberi penekanan kepada dasar berkecuali (non-aligned) dan telah menjadi ahli Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada tahun 1970. Tun Razak mengubah dasar luar negara Malaysia yang sebelum ini pro-Barat kepada dasar yang neutral; Malaysia berbaik dengan semua negara tanpa mengira kefahaman dan ideologi mereka. Hubungan diplomatik dijalinkan dengan China dan negara-negara Indochina dan kerjasama di rantau ASEAN dipertingkatkan. Pada masa yang sama, Malaysia memberi penekanan kepada konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dan South East Asia Nuclear Weapon Free Zone (SEANWFZ). Selain itu, semasa kepimpinan Tun Abdul Razak juga, Malaysia telah menganggotai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan mula dikenali sebagai sebuah “negara Islam”.

 

Sign up to receive our emails and be alerted of our programmes.

 

 

© 2018 Perdana Leadership Foundation. All rights reserved.